PUTRAJAYA – Malaysia kini sedang membuat persediaan melaksanakan reformasi komprehensif terhadap sistem cukai antarabangsa di mana ia akan mewajibkan kadar cukai minimum 15 peratus ke atas sesetengah syarikat multinasional (MNE).
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, sistem itu bagi memastikan perusahaan-perusahaan berkenaan membayar bahagian cukai yang saksama di mana sahaja mereka beroperasi dan menjana keuntungan.
Menurutnya, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengumumkan sehingga kini sebanyak 136 negara telah bersetuju dengan pembaharuan menyeluruh sistem cukai antarabangsa yang dijangka akan diimplimentasi bermula tahun hadapan.
“Sebenarnya di peringkat global, inisiatif ini memang dijangkakan untuk diimplimentasi pada tahun 2023 dengan 136 negara masih dalam peringkat perbincangan bersama OECD.
“Malaysia memang melibatkan diri secara aktif dalam ‘working group discussion’ tersebut untuk memastikan kepentingan negara (terjamin) dan ekonomi membangun seperti Malaysia tidak ketinggalan dalam OECD menentukan polisi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Polisi Cukai Malaysia Ke-3 di sini hari ini.
Beliau berkata, sistem percukaian itu akan mewajibkan kadar 15 peratus terhadap sesetengah MNE dan memperuntukkan semula lebih AS$125 bilion keuntungan daripada kira-kira 100 MNE yang terbesar serta paling untung di dunia kepada semua negara.
Jelasnya, ia bagi memastikan perusahaan multinasional membayar cukai yang betul dan di tempat sepatutnya.
“Bagi memastikannya, kita akan terus membangunkan strategi komprehensif untuk menangani risiko pematuhan cukai antarabangsa termasuk menggesa firma-firma multinasional untuk lebih telus,” katanya. -KOSMO! ONLINE