fbpx

Mahkamah: Peter dapat tangguh sabitan kesalahan palsu dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Peter Anthony atas kesalahan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), lapan tahun lalu.

Dengan keputusan itu, sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah atas kesalahan itu, digantung sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi.

Peter selaku pemohon memfailkan notis usul pada 11 Jun lalu agar sabitan tersebut digantung atas alasan sabitan salah akan menjejaskan peluangnya menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Peter selepas meneliti dan menimbang afidavit yang dikemukakan, hujahan bertulis dan lisan serta otoriti yang difailkan oleh kedua-dua pihak pemohon dan responden.

Mahkamah berpuas hati dengan alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan yang mewakili Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Azura turut memerintahkan jaminan terhadap Peter dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000 dengan seorang penjamin manakala syarat-syarat tambahan yang dikenakan sebelum ini dikekalkan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam S. Devanandan yang mewakili Peter agar baki jaminan dibayar sebelum atau pada Rabu ini.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 19 September ini bagi pengurusan kes rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Tarikh itu ditetapkan kerana pihak perayu dan pendakwaan masih belum menerima rekod rayuan dan alasan penghakiman daripada Mahkamah Sesyen.

Minggu lalu, Devanandan menghujahkan, permohonan anak guamnya untuk menggantung pelaksanaan sabitan dibuat dengan alasan yang sama seperti dalam kes Datuk Seri Najib Razak iaitu untuk bertanding pada PRU-15 yang dikatakan alasan keadaan istimewa mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Tambah Devanandan, jika permohonan bagi penggantungan sabitan salah Peter tidak dibenarkan, ini menyebabkan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu hilang kelayakan bertanding pada PRU-15 dan ia menyebabkan prejudis kepada Peter.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika membantah permohonan itu berhujah, notis usual penggantungan sabitan salah yang difailkan oleh Peter adalah tidak bermerit dan bertentangan dengan undang-undang.

Hujah beliau, Peter yang merupakan pemohon telah menjalankan sebahagian daripada hukumannya dengan membayar denda RM50,000 yang dikenakan terhadapnya pada 26 Mei lalu.

Beliau berhujah, atas sebab itu, Hakim Azura Alwi yang mensabit dan menjatuhkan hukuman tersebut juga dianggap telah memenuhi fungsi kehakimannya dan dianggap sebagai functus officio (isu yang telah diputuskan secara muktamad).

Pada 26 Mei lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan Peter telah membayar denda tersebut namun tiada sebarang perintah dibuat berhubung sabitan salah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI