fbpx

Mahkamah: Hakim selesai lawat dua lot banglo Yayasan Akalbudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hakim Collin (tengah) selepas selesai melawat dua unit banglo di Country Heights di sini hari ini.

KAJANG – Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini selesai melawat dua unit banglo di Country Heights, Kajang yang didakwa dibeli menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz.

Terdahulu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah tiba di lokasi rumah banglo itu kira-kira pukul 10.40  pagi diiringi beberapa kenderaan polis dan sebuah kereta peronda polis (MPV) dan dikawal rapi.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahmad Zahid serta peguamnya Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd. Noh.

Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong. Lawatan itu kemudian berakhir pukul 11.25 pagi dan hakim Collin kemudian dibawa semula ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Dalam sesi lawatan hari ini, pihak media yang hadir sejak pukul 10 pagi mendapat kebenaran masuk di dua unit lot banglo berkenaan untuk membuat liputan yang mana kebenaran itu dipersetujui semua pihak termasuk pihak pengurusan perumahan mewah itu.

Pada 6 Julai lalu, dalam prosiding terdahulu hakim Collin yang mendengar perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid bersetuju akan melawat dua unit banglo tersebut.

Beliau berkata, persetujuan itu selaras dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam Hisyam yang mewakili Ahmad Zahid, 69, ketika prosiding itu berkata, pihaknya menjemput hakim Collin untuk melawat dua banglo berkenaan bagi memberikan gambaran yang jelas kerana pembelian banglo itu terdapat dalam satu daripada 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya dan sering diperkatakan dalam perbicaraan.

Menurut peguam itu, dengan lawatan tersebut dapat memperlihatkan keadaan terkini banglo berkenaan termasuk lokasinya serta jarak banglo itu dengan Surau An-Nur di Country Heights.

Sebelum itu, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua banglo berkenaan paling dekat dengan Surau An-Nur di Country Heights dan jauh dari kediamannya yang juga terletak di kawasan berkenaan (Country Heights).

Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI