BALTIMORE, MARYLAND – Satu kajian mendapati kanak-kanak dalam lingkungan usia pelajar sekolah rendah yang tidur kurang sembilan jam setiap hari berisiko mengalami perbezaan ketara di kawasan otak yang berfungsi berkaitan memori dan kecerdasan, lapor laman berita Wion News semalam.
Hasil kajian pasukan penyelidik Fakulti Perubatan Universiti Maryland (UMSOM) itu dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti tekanan, kegelisahan dan tingkah laku impulsif dalam kalangan kanak-kanak yang kurang tidur berbanding mereka yang tidur antara sembilan hingga 13 jam.
Pasukan penyelidik itu menganalisis maklumat yang dikumpulkan daripada lebih 8,300 kanak-kanak berumur sembilan hingga 10 tahun yang mengambil bahagian dalam kajian Pembangunan Kognitif Otak Remaja (ABCD).
“Kami mendapati kanak-kanak yang tidur kurang sembilan jam semalam mengalami kekaburan di kawasan otak yang mengawal perhatian, memori dan perencatan berbanding mereka yang cukup tidur.
“Perbezaan ini berterusan selepas dua tahun sekali gus membayangkan bahaya jangka panjang bagi kanak-kanak yang tidak cukup tidur,” kata pengarang kajian, Profesor Ze Wang.
Kajian tersebut adalah antara kajian pertama yang menunjukkan kemungkinan kesan jangka panjang kurang tidur kepada perkembangan neurokognitif kanak-kanak. – Agensi