JOHOR BAHRU – Johor merekodkan sebanyak 8,652 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak Januari hingga 30 Julai lalu.
Rekod kes tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 81.6 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, dalam tempoh sama tahun lalu, Johor hanya merekodkan sebanyak 106 kes.
Menurut beliau, Johor juga merupakan antara lima negeri dengan kumulatif kes tertinggi iaitu Selangor 35,575 kes; Perak (13,487 kes); Kuala Lumpur dan Wilayah (13,434 kes); Sarawak (8,727 kes) dan Johor (8,651 kes).
“Johor Bahru merupakan daerah yang mencatatnya bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 2,989 kes, diikuti Kluang (1,119 kes); Tangkak (888 kes); Batu Pahat (887); Segamat (775 kes); Kota Tinggi (690 kes); Pontian (578 kes); Muar (330 kes); Kulai (269 kes) dan Mersing (127 kes).
“Peningkatan ini telah dijangka berlaku ekoran kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP), walaubagaimanapun, situasi ini masih terkawal. Ini dibuktikan dengan penurunan kes yang direkodkan dalam tempoh lapan minggu kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Tian Soon, kebanyakan kes HFMD yang berlaku di negeri ini melibatkan kanak-kanak berusia bawah 6 tahun iaitu sebanyak 7,451 kes atau 86.1 peratus, diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 1,033 kes (11.9 peratus) manakala selebihnya melibatkan individu berusia lebih 13 tahun.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat peningkatan terhadap bagi kes dan wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu ‘Influenza-like-illness’ (ILI) dan Upper ‘Respiratory Tract Illness’ (URTI) di Johor. -KOSMO! ONLINE