DIALAH ibu, dialah bapa. Itu pandangan daripada kaca mata Nur Syahirah Salmi terhadap ibunya yang membesarkannya seorang diri selepas kematian bapanya ketika gadis berusia 20 tahun ini baru berumur dua tahun.
Biarpun hanya dibesarkan oleh ibu seorang diri tanpa kasih sayang seorang bapa, namun keadaan tersebut tidak menghalangnya membesar dengan sempurna sama seperti kanak-kanak lain.
Apa yang membuatkan penulis kagum adalah, kesungguhan dan ketabahan gadis yang kini menetap di Pulau Pinang ini berdepan dengan cabaran hidup membolehkan beliau melanjutkan pengajian di menara gading dengan sistem sokongan yang utuh.
Mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bangunan (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, gadis ini kini berada di semester dua pengajian.
“Saya merupakan seorang anak tunggal dan dibesarkan oleh ibu sejak berumur dua tahun. Saya kehilangan bapa tersayang yang terlibat dalam kemalangan.
“Melihatkan kesungguhan dan cabaran yang diharungi ibu sepanjang membesarkan saya, membuatkan saya sangat mengaguminya. Dia merupakan seorang wanita yang sangat kuat dan sanggup berkorban apa sahaja untuk melihat saya berjaya.
“Saya berazam untuk membanggakan ibu dan membalas setiap penat lelahnya selama ini,” katanya kepada K2.
Berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam, perjalanan hidup gadis yang mesra dipanggil Syera ini bukanlah mudah, lebih-lebih lagi dalam bidang akademik.
Biarpun pernah bertukar-tukar sekolah sebelum ini, namun berkat usaha dan sokongan daripada ibu tercinta, gadis ini berjaya menempuh cabaran dalam hidup seterusnya melanjutkan pengajian di menara gading.
“Ketika di tingkatan empat, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri yang terletak di Balik Pulau, Pulau Pinang. Pada waktu itu, saya ditawarkan jurusan Perakaunan.
“Biarpun tidak meminati jurusan tersebut, namun saya tetap mencubanya sehinggalah ditawarkan jurusan Kejuruteraan Awam di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di Jelutong dan berpindah ke sana,” kongsinya.
Berjaya mendapat keputusan cemerlang, Syera menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia dan ditawarkan pula jurusan yang diambilnya sekarang.
Menurutnya, biarpun meminati bidang tersebut, namun dia akui ramai yang tertanya-tanya apakah yang dipelajari dalam jurusan berkenaan. Bahkan ada yang bertanya, adakah Syera akan bekerja sebagai tukang buat rumah dan pelbagai soalan lain diajukan kepadanya.
Sudah mengkaji dan memahami sehabis mungkin jurusan yang diminatinya itu, Syera tidak melatah dengan setiap persoalan yang diutarakan kepadanya.
“Orang suka bertanya saya, apakah pekerjaan yang ditawarkan jika saya mengambil jurusan ini. Sedangkan mereka tidak tahu jurusan ini mempunyai lapangan kerjaya yang luas dan tidak tertumpu kepada arkitek dan jurutera sahaja.
“Skop bidang program ini tertumpu kepada kaedah pembinaan bangunan dan pengurusan bangunan dari awal hingga akhir. Dari situ, kita akan belajar dengan lebih mendalam bagaimana bangunan dibina dengan kaedah yang sesuai dan teknologi yang patut kita gunakan.
“Sebenarnya, seorang juruukur bangunan mempunyai prinsip iaitu memastikan bangunan yang dibina selamat, boleh dihuni dan efisien.
“Seorang juruukur bangunan turut bertanggungjawab dalam beberapa perkara seperti rekaan, penyelenggaraan, baik pulih, pengubahsuaian, pemulihan dan pemeliharaan bangunan serta monumen.
“Kesemua ini merupakan asas ilmu sebagai seorang juruukur bangunan,” tambahnya.
Biarpun mempunyai kecenderungan untuk menuntut ilmu juruukur bangunan, namun gadis ini bercita-cita mahu menjadi seorang pegawai polis satu hari nanti.
“Cita-cita saya sangat jauh berbeza dengan apa yang saya pelajari sekarang.
“Bagi saya, apa yang dipelajari sekarang ini tidak membuang masa kerana ia boleh dijadikan sebagai satu ilmu yang tidak semua orang peroleh.
“Pun begitu, saya tidak kisah sekiranya gagal mencapai impian untuk bergelar seorang pegawai polis satu hari nanti.
“Apa lebih penting, saya ingin membanggakan ibu sendiri.
“Saya tidak mahu ibu bersusah payah bekerja apabila sudah tua kelak. Tiba masanya, saya akan berbakti dan menjaganya nanti,” ujarnya.