PETALING JAYA – Suami usahawan Noor Nabila iaitu Engku Emran masih menyimpan gambar perkahwinan dan gambar mereka berdua dalam akaun Instagramnya.
Bahkan, profil akaun media sosial Emran, 47, juga masih menggunakan gambar bersama isterinya yang juga kakak kepada selebriti terkenal, Neelofa.
Kali terakhir Emran memuat naik gambar bersama isterinya itu kira-kira lima bulan lalu sewaktu mereka berdua menyambut ulang tahun perkahwinan pada Mac lalu.
Menerusi gambar terakhir yang dikongsikan itu, kelihatan Emran dan Noor Nabila seperti baru selesai menunaikan solat secara berjemaah.
“Memerhati dan menyayangi awak sekuat tenaga saya. Selamat ulang tahun Noorku,” tulis Emran.
Sejak semalam, status rumah tangga pasangan itu menjadi teka-teki ramai selepas Noor Nabila dilihat memadam kesemua gambar bersama suaminya
termasuk gambar hari perkahwinan mereka.
Sebelum itu, desas-desus timbul apabila Noor Nabila tidak lagi memuat naik gambar suaminya di dalam media sosial.
Noor Nabila yang merupakan ibu kepada seorang anak itu bagaimanapun memberitahu, rumah tangganya bersama Emran berada dalam keadaan baik dan menafikan berlaku keretakan dalam hubungan mereka.
Kata Noor Nabila, dia memilih untuk menjaga privasi perkahwinan mereka daripada tatapan umum dan tidak berkongsi gambar dalam media sosial. Noor Nabila dan Emran melangsungkan perkahwinan mereka secara rahsia pada 19 Mac 2021 dalam majlis yang cukup ringkas tetapi meriah.
Noor Nabila sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular, Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017, namun jodoh mereka tidak panjang apabila berpisah pada 9 Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Jebat Jayden.
Emran pula pernah berkahwin dengan selebriti terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 2017 sebelum bercerai pada tahun 2020.
Emran juga memiliki seorang cahaya mata perempuan, Engku Alisya hasil perkongsian hidup bersama primadona filem Melayu, Erra Fazira.