PEMENANG pingat emas Sukan Komanwel Birmingham, Mohamad Aniq Kasdan berharap sukan angkat berat mampu mendapatkan pengiktirafan dengan kembali menjadi sukan teras di Malaysia.
Tegas atlet berusia 20 tahun itu, segala pengorbanannya itu berbaloi sekali gus dapat membuka mata pelbagai pihak dan dapat mengembalikan kegemilangan sukan tersebut.
“Syukur dapat hadiahkan pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan Komanwel. Saya harap kemenangan ini dapat mengembalikan semula sukan angkat berat sebagai sukan teras.
“Ia demi masa depan para atlet muda dan juga harapan melihat sukan ini terus cemerlang di persada dunia.
“Apapun, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama rakan-rakan saya yang sentiasa menyokong saya selama ini.
“Terima kasih juga buat Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri Johor, Persatuan Angkat Berat Malaysia. Emas ini buat semua rakyat Malaysia,” katanya.
Aniq yang membuat penampilan sulung di temasya empat tahun sekali itu melakukan kejutan apabila membutirkan pingat emas pertama Malaysia dengan mengungguli acara 55 kilogram (kg) dengan angkatan keseluruhan 249kg.
Lebih manis, atlet berusia 20 tahun itu turut memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam saingan clean and jerk dengan angkatan 142kg.
Skuad angkat berat terus menceriakan kontinjen negara apabila menambah sebutir lagi pingat emas menerusi Muhamad Aznil Bidin selepas muncul juara bagi kategori 61kg.