SEBERANG PERAI – Tidak tegar melihat kedua-dua orang tua mengerah keringat menjual nasi lemak di tepi jalan, dua beradik memasang tekad untuk mengubah nasib keluarga sehingga berjaya membuka cawangan keempat Nasi Lemak Ayam Goreng Rangup ‘Crunchy’ di Tasek Gelugor, di sini, baru-baru ini.
Pemiliknya, Bebe Nur Aqeela Mohamad Yunus Khan, 29, berkata, kehidupan awal remajanya bersama adik perempuan yang juga selaku pemilik bersama perniagaan, Bebe Nur Ardeela, 27 tidak seperti anak remaja lain yang kebanyakannya gemar menghabiskan masa di pusat beli- belah mahupun bercuti bersama teman.
“Masa kami banyak dihabiskan dengan menolong kedua orang tua di dapur bagi menyiapkan bahan-bahan untuk dimasak pada keesokan paginya. Mak dan ayah ketika itu tiada pekerja, jadi kamilah yang menggalas tugas sebagai pembantu.
“Tambahan pula, ketika itu ayah hanya bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat kenderaan di ibu kota. Gaji hanyalah cukup-cukup makan untuk menanggung kami sekeluarga termasuk adik lelaki bongsu.
“Namun, kami tidak merungut sebaliknya memasang niat untuk membalas jasa kedua-dua orang tua yang sanggup berkorban demi kami adik-beradik,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di premis Nasi Lemak Ayam Goreng Rangup ‘Crunchy’ cawangan Tasek Gelugor di Taman Desa Ara Permai, di sini.
Anak kelahiran Kulim, Kedah itu berkata, perniagaan menjual nasi lemak yang diusahakan kedua-dua orang tuanya sejak 22 tahun lalu di Lembah Klang sedikit sebanyak memberinya pendedahan untuk mempelajari selok-belok perniagaan serta rencah kehidupan berjualan yang diibaratkan seperti langit yang tak semestinya sentiasa cerah.
“Kami bermula di sekitar Ampang Jaya, Selangor dengan berniaga di tepi jalan sahaja. Bohonglah jika tidak pernah dibasahi hujan, berpanas, payung hampir diterbangkan ribut selain berdepan detik disaman atau diberi amaran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Atas sifat perikemanusiaan, pihak PBT mencadangkan kami mengambil kursus perniagaan tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan akhirnya kami berjaya mendapatkan sebuah kiosk untuk menjual nasi lemak di Taman Kosas, Ampang.
“Bermula dari situ, perniagaan nasi lemak kami semakin mendapat sambutan dan seterusnya kami mengorak langkah menambah dua lagi cawangan iaitu di Bandar Baru Bangi dan Jalan Ampang,” kata anak sulung dari tiga beradik itu.
Menurut Bebe Nur Aqeela, dalam kesibukan mengendalikan perniagaan yang kian berkembang, keluarganya diuji apabila kedua ibu bapanya berpisah disebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka.
Pun begitu, perniagaan yang diusahakan bersama tidak terhenti di situ sebaliknya diuruskan seperti biasa.
“Tahun bersilih ganti, kami mengambil keputusan untuk membuka cawangan keempat di Tasek Gelugor, Seberang Perai. Pada mulanya memang tak mahu buat (berniaga nasi lemak), tapi disebabkan ada hajat yang belum tertunai iaitu ingin menyenangkan hati orang tua, kami tempuh jua,” katanya.
Bebe Nur Aqeela berkata, bagi cawangan baharu itu, sambutan diterima amat menggalakkan.
“Dalam sehari, nasi lemak habis terjual sehingga 200 bungkus. Resipi perapan ayam goreng ini adalah daripada ayah (Mohamad Yunus Khan Haq Nawaz, 55), manakala resipi sambal pula daripada ibu (Farizan Nordin, 59).
“Sebungkus nasi lemak yang dijual mengandungi satu bahagian ayam, timun, telur separuh, kacang goreng dan ikan bilis selain turut menyediakan aneka sambal termasuk sambal sotong serta sambal paru yang dijual dengan harga RM7 sebungkus,” katanya lagi.
Dia menambah, meskipun berdepan kenaikan harga bahan mentah melibatkan ayam, telur, ikan bilis dan lain-lain, peniaga tidak seharusnya lokek, lebih-lebih lagi melibatkan bisnes makanan.
“Ibu pesan, kalau nak berniaga makanan jangan berkira sebab rezeki itu Allah yang tentukan. Semakin banyak kita bersedekah, semakin murah rezeki kita,” katanya yang juga mempunyai dua orang pekerja.
Kedai Nasi Lemak Ayam Goreng Rangup ‘Crunchy’ cawangan Tasek Gelugor dibuka setiap hari kecuali Sabtu dari pukul 5 petang sehingga 11 malam.