MELAKA – Selepas 15 tahun berkecimpung dalam dunia persilatan, akhirnya juara dunia empat kali, Mohd. Al Jufferi Jamari membuat pengumuman bersara daripada sukan tersebut.
Anak kelahiran Pahang itu membuat keputusan itu sebaik sahaja dinobatkan selaku juara Kelas F di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini, berakhir semalam (Ahad).
Sebelum ini atlet berusia 30 tahun itu pernah meluahkan hasrat tersebut sejak berakhirnya Sukan SEA Hanoi tahun lalu, namun ditolak Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka).
“Saya minta Pesaka tidak pujuk untuk tarik balik hasrat ini, selepas kejuaraan dunia di Melaka saya tidak mahu berganjak dengan keputusan bersara mewakili Malaysia atau beraksi dalam mana-mana kejohanan selepas ini.
“Sama ada dapat atau tidak pingat emas saya tetap dengan keputusan menamatkan karier selaku atlet silat negara kerana ingin beri lebih perhatian kepada keluarga,” katanya kepada pemberita sejurus berakhir majlis penutupan kejuaraan.
Mohd. Al Jufferi meraih gelaran dunia keempatnya selepas menewaskan Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia dengan keputusan 35-21 dalam perlawanan akhir disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebelum ini, beliau memenangi kejuaraan dunia di Chiang Rai, Thailand (2012); Phuket, Thailand (2015) dan Bali, Indonesia (2016).
Pada temasya Sukan SEA pula, Mohd. Al Jufferi merangkul empat pingat emas di Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2016) dan Kuala Lumpur (2017).
Jelasnya, antara punca utama beliau menamatkan karier adalah disebabkan masalah kecederaan bahu kanan, sewaktu Sukan SEA Hanoi masih belum pulih sehingga kini. -KOSMO! ONLINE