fbpx

APM siap siaga pantau 311 hotspot banjir di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mulliadi menunjukkan contoh dan fungsi beg kecemasan bencana yang perlu disediakan orang awam.

KLANG – Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor bersiap siaga memantau 311 lokasi ‘hotspot’ banjir di negeri ini susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Ia melibatkan 65 kawasan di Klang diikuti Hulu Langat (61), Petaling (45), Kuala Selangor (38), Sepang (37), Kuala Langat (25), Gombak (24), Sabak Bernam (9) dan Hulu Selangor (7).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, kesemua lokasi di sembilan daerah itu dikenal pasti menerusi hasil pemantauan, kajian lapangan dan penelitian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Kata beliau yang juga Pengarah APM negeri, semua agensi dan jabatan di bawah jawatankuasa itu dalam kesiapsiagaan dan mempersiapkan 658 keanggotaan bagi menangani sebarang kemungkinan bencana.

“Aset penyelamatan APM di setiap daerah meliputi 44 bot pelbagai jenis, 11 ambulans, 13 kenderaan utiliti pacuan empat roda dan 10 trak atau jentera penyelamat.

“UPBN dan APM berganding rapat dalam pemantauan harian dan bersiap siaga menghadapi banjir ekoran ketidaktentuan cuaca di negeri ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Jelas Mulliadi, pihaknya membuat ketetapan dengan pengaturan anggota menjalankan pemantauan sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh lebih dua jam di kawasan hotspot.

“Langkah itu sebagai persediaan awal sekiranya berlaku bencana luar jangka seperti yang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam tahun lalu. Inisiatif itu dijalankan selama 24 jam tanpa mengira masa dan waktu sama ada siang atau malam,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI