KUALA LUMPUR – Berlangsung selama dua malam berturut-turut, konsert 15 tahun Bunkface! 15 Years Of Korang menyaksikan kehadiran lebih 10,000 peminat setia yang sekian lama dahagakan kemunculan mereka dalam sebuah konsert berskala mega.
Konsert yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad yang bermula pada pukul 9 malam itu memperlihatkan peminat setia mula berkumpul di Zepp Kuala Lumpur seawal pukul 6 petang.
Bunkface membuka tirai persembahan dengan lagu I Miss You kemudian diteruskan dengan Welcome To The Rock Show yang menggamatkan dewan.
Lebih 25 buah lagu popular Bunkface seperti Soldier, More, Punk Not Dead, Silly Lily, Malam Ini Kita Punya, Extravaganza dan Revolusi turut dipersembahkan.
Tersentuh dengan sambutan hangat peminat, Youk selaku gitaris mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang hadir.
“Ini pertama kali kami buat persembahan dua hari berturut-turut. Terima kasih kepada sokongan semua yang sudah 15 tahun setia dengan kami.
“Alhamdulillah, ini hadiah dari Tuhan buat kita semu selepas dua tahun dengan apa yang kita harungi.
“Tuhan berikan pembalasan bagi yang bersabar dan mungkin hadiah daripada Tuhan itu adalah korang (kamu) yang datang majlis ini,” katanya.
Sepanjang tempoh dua jam persembahan, peminat memberikan energi maksima dan berhenti melompat serta menari sambil menyanyi bersama tanpa henti.
Tidak sekadar itu, Bunkface yang diketuai Sam turut menjemput seorang peminat bertuah untuk menyanyikan bersama mereka di atas pentas sekali gus menggamatkan lagi suasana.
Pada hujung persembahan sekitar pukul 11 malam, Bunkface yang dianggotai empat anggota membawakan lagu hit, Revolusi sekali gus menyaksikan ribuan peminat menikmati detik-detik terakhir sebelum konsert menutup tirai.
Bunkface! 15 Years Of Korang dibawakan OctaFX selaku penaja utama selain disokongan oleh MyCreative Ventures, Penjana dan Waka manakala stesen Hot FM dan Fly FM selaku rakan radio rasmi. – KOSMO! ONLINE