PUTRAJAYA- Sejumlah 100 kakitangan tambahan bakal dilantik secara kontrak perkhidmatan bagi menangani isu tunggakan 72,348 kes pembahagian pusaka sedia ada di seluruh negara.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, petugas tersebut akan berkhidmat selama tiga tahun sebagai penyelesaian jangka pendek.
“Kita berharap kesemua kes tertunggak itu dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini juga kerana dibimbangi akan bertimbun lebih banyak jika dilewatkan.
“Jumlah besar tunggakan tersebut disebabkan gangguan operasi akibat beberapa sekatan pergerakan ketika pandemik Covid-19 meletus lebih dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pentadbiran Tanah sempena dengan sambutan Hari Tanah Negara 2022 di sini tadi.
Mengulas lanjut, Ali berkata, penambahan 100 lagi petugas baharu itu dijangka membabitkan 50 pegawai gred N41 dan baki staf N19 yang akan ditempatkan di negeri-negeri dengan banyak kes tertunggak.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana mempertimbangkan lantikan sementara yang dijangka boleh diisi akhir tahun ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE