fbpx

10 ahli Geng Dani curi motosikal diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Seramai 10 individu ahli Geng Dani termasuk seorang wanita tempatan diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri pelbagai jenis motosikal, sejak awal tahun ini.

Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 35 tahun itu diberkas dalam enam serbuan berasingan oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, geng itu diketuai seorang pemuda berusia 21 tahun digelar Dani, manakala wanita yang dicekup adalah kekasihnya berusia 18 tahun.

Katanya, kumpulan itu dikesan selepas pihak polis menerima beberapa laporan kes kecurian motosikal di kawasan daerah Melaka Tengah dalam tempoh dua minggu dengan membabitkan kerugian RM25,000.

“Berdasarkan kepada risikan dan maklumat, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas sembilan lelaki dan seorang wanita dalam enam serbuan di Melaka Tengah serta Pulau Pinang.

“Dalam serbuan itu polis berjaya merampas empat buah motosikal pelbagai jenis seperti Yamaha Y15, Benelli R18i dan Modenas Kriss yanb telah dilaporkan hilang di sekitar Melaka Tengah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, pihak polis turut merampas dadah seberat 18.8 gram yang dijumpai dalam pemeriksaan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu modus operandi kumpulan itu adalah mencuri motosikal yang tidak mempunyai kunci tambahan dan kunci ditinggalkan pada motosikal.

“Selain itu, kumpulan ini juga menggunakan ‘master key’ atau peralatan yang telah diubahsuai untuk membuka kunci pada pemegang motosikal. Mereka ini juga mempunyai kepakaran menghidupkan motosikal menggunakan sambungan wayar,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI