PETALING JAYA – Lali dengan segala perkara negatif, selebriti terkenal Neelofa memberitahu mengelak daripada membaca perkara negatif merupakan antara yang dilakukannya untuk mengekalkan jiwanya kebal daripada terkesan dengan segala kecaman.
Menurut pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd Noor, 33, itu, perkara tersebut membantu jiwanya daripada hanyut dengan kritikan negatif sekaligus menguatkan dirinya untuk terus berada di posisinya sekarang.
“Pada awal dulu memang ada fasa trauma tetapi syukur Allah beri kekuatan untuk kekal kuat sehingga hari ini, kalau tidak sudah lama saya tiada dalam industri seni ini.
“Apa yang saya lakukan ialah perlu kenal diri dan tahu apakah niat utama kita untuk lakukan sesuatu perkara, katanya dalam temu bual program Wanita Hari Ini semalam.
Bekas pengacara MeleTOP berkenaan juga memberitahu setiap perkara yang dilakukan tidak perlu memikirkan pandangan orang lain.
Hal tersebut kerana hanya dia yang mengenali dan tahu apa yang diingin dicapai oleh dirinya.
“Apa sahaja yang orang cakap, saya akan cakap pada diri sendiri, ‘mereka tidak kenal siapa saya seperti mana saya kenal diri sendiri’.
“Kedua, biarlah orang cakap apa sahaja tetapi hanya diri kita tahu apa yang kita buat,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, dia juga memberitahu tapisan pada pemikiran juga dipraktikkannya bagi mengelak sebarang unsur negatif menyerap dalam jiwa.
“Kemudian perlu tapis fikiran dan jangan mudah beri perkara negatif masuk sehingga mempengaruhi diri dan hati kita. Tapisan kita perlu kuat.
“Kalau boleh jangan baca semua yang negatif sebab semua itu akan masuk dalam hati dan beri kesan kepada hati. Jadi kuat untuk tidak mendengar dan membaca yang orang kata.
“Pilih apa yang kita nak baca sebab semua itu membentuk keperibadian kita. Sayang kalau tak jaga sebab hati kita sangat berharga,” ujarnya lagi.
Sebagai info, sejak muncul dalam industri seni sekitar tahun 2011, Neelofa merupakan antara selebriti yang kerap menerima kecaman termasuk perihal peribadi dan karier seninya.
Terbaru, dia sering mendapat kecaman kerana masih ‘menyembunyikan’ wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal kini berusia enam bulan yang dilahirkan pada 29 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE