SHAH ALAM- Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang baharu dilantik, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berkhidmat dengan komited bagi memastikan kemenangan di Selangor.
Beliau berkata, pelantikan tersebut dianggap satu mandat besar baginya dan akan memikirkan pelan tertentu bagi menjayakan hasrat besar BN negeri itu.
“Terima kasih BN Pusat dan Selangor atas pelantikan jawatan ini.
“Saya akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan BN Selangor (bagi membincangkan pelbagai pelan) dan daripada segi strategi (tawan Selangor), Tan Sri Noh (akan rancang dan susun,” katanya ringkas ketika ditemui selepas majlis penutupan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, malam ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan BN pusat dan negeri untuk melantiknya menjadi calon untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.
“Jadi calon ke tidak, yang penting kita (BN Selangor) bersama, Insya-Allah dapat menang kembali Selangor,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE