PETALING JAYA – Tindakan suami yang tidak menegur perbuatan isteri yang menayangkan punggung di hadapan orang ramai dengan tujuan mempromosikan produk yang dijual di media sosial disifatkan sebagai ‘dayus’.
Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar ketika dalam satu ceramah berkata, Rasulullah menyifatkan seorang suami itu dayus kerana tidak berani menegur kemungkaran yang dilakukan isteri dan juga anak-anak.
“Bayangkan ramai orang tengok video isteri dia, lagi ramai orang kongsi isteri dia pegang kamera rakam, tayang punggung kepada orang ramai, golek-golek punggung depan orang ramai sedangkan suami masih hidup, dan dia sebagai bapa tidak pernah menegur perbuatan itu, yang ini dipanggil oleh Rasulullah sebagai dayus.
“Dayus bermaksud suami tidak berani menegur kemungkaran yang dilakukan oleh isteri dan juga anak-anak,” ujarnya.
Menurutnya, bayangkan video tersebut yang tular di media sosial dan ditonton 18,000 hingga 26,000 orang yang memaparkan maruah isteri dia.
“Kalau suami duduk di masjid sedang baca Al Quran, malaikat sedang tulis dosa besar dia berapa orang yang telah tengok punggung isteri dia yang digelek-gelek dalam internet.
“Bayangkan ditulis dayus oleh malaikat 24 jam disebabkan video isteri kamu yang ditengok orang ramai dan kamu pula tak tegur dia.
“Video dilihat sampai cecah ratus ribu, nak viral punya pasal. Nak jual produk punya pasal, menempah ratusan ribu tahun untuk duduk dalam neraka jahanam,” ujarnya
Jelas Ustaz Wadi, bayangkan ketika Allah telah menciptakan neraka dengan beberapa kepanasan, Allah sudah panaskan ribuan tahun dengan warna tertentu dan akhirnya pintu telah menjadi hitam dan tidak boleh panas lagi.
Justeru itu, beliau menasihati individu berkenaan agar memadamkan segera video-video yang mengundang dosa dan kemarahan Allah.
“Sementara masih bernafas maksudnya pintu taubat masih terbuka, padamlah dan buanglah video-video yang mengundang dosa dan marah Allah,” katanya.
Ujarnya, para ulama menjelaskan kemuncak kepada kemurkaan Allah kepada seseorang ialah apabila Allah membiarkan seseorang itu melakukan kemungkaran dan Allah tidak pernah menegur.
“Ini kerana Allah nk biarkan kamu himpun sebanyaknya dosa dan tidak pernah beri peluang kepada kamu untuk bertaubat kepadanya sebab Allah dah benci.
“Tapi kalau Allah sayang, dia akan tegur seseorang itu termasuk campakkan hidayah kepadanya, tengah-tengah dia nak buat maksiat serta tengah-tengah perjalanan melakukan maksiat,” katanya. – KOSMO! ONLINE