BANGKOK – Seorang lelaki di selatan Thailand menjadi mangsa terbaharu penipuan online atau ‘scammer’ selepas kumpulan itu memperdaya anaknya untuk memindahkan sejumlah wang, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut laporan, ‘scammer’ tersebut memperdaya anak lelaki mangsa yang berusia 10 tahun untuk memindahkan wang sebanyak 1,206,000 baht (RM147,755) daripada akaun bank bapanya dari 7 hingga 25 Julai lalu.
Lelaki berusia 49 tahun yang dikenali sebagai A itu tinggal bersama anak lelakinya di wilayah Nakhon Sri Thammarat.
Kumpulan itu pada awalnya menghubungi nombor telefon A pada aplikasi LINE. Dia ketika itu membenarkan anaknya menggunakan telefon tersebut untuk pelajaran online dan bermain permainan video.
Apabila penipu berkenaan menyedari seorang kanak-kanak menjawab panggilan, mereka melihatnya sebagai peluang untuk mengambil kesempatan.
‘Scammer’ berkenaan bertanya kepada budak lelaki itu mengenai permainan video yang disukainya dan jika dia mahu memenangi mata permainan.
Selepas menjawab ‘ya’, penipu itu memberi arahan tetapi meminta mangsa untuk tidak memberitahu bapanya atas apa yang dia lakukan.
Budak lelaki tersebut pada awalnya diminta menghantar gambar kad pengenalan bapanya. Mereka kemudian memperdaya mangsa untuk membuat tujuh transaksi bank dari 7 hingga 25 Julai lalu.
Selepas berjaya mendapatkan wang sebanyak 1,206,000 baht (RM147,755), mereka menyekat nombor telefon mangsa.
A kemudian menerima pemberitahuan mengenai transaksi bank. Dia melaporkan kejadian itu dan polis masih menjalankan siasatan. – Agensi