PERJALANAN karier si cantik yang menggunakan nama pentas Sophia Albarakbah itu molek aturannya.
Benar kata orang, kalau rezeki sudah tertulis milik kita, pasti akan tetap menjadi hak dan kepunyaan kita, tinggal lagi lambat atau cepat sahaja.
Begitu juga dengan rezeki seni Sophia sejak menghulurkan salam perkenalan sekitar tiga tahun lalu.
Dikurniakan pakej serba lengkap dengan wajah jelita bukan menjadi ‘senjata’ utama Sophia terjun dalam bidang seni, namun dibuktikan dengan bakat lakonan yang sudah sebati dalam dirinya.
Tawaran demi tawaran mula menerjah pintu rezeki Sophia. Bukan sekadar drama tempatan yang bersiaran dalam kaca televisyen, tetapi bakatnya juga disunting sutradara bagi menjayakan naskah layar perak.
Meski masih hijau dan mentah dalam industri pada ketika itu, namun Sophia membuktikan ‘kementahannya’ tidak seperti yang disangka.
Sophia atau dahulunya lebih dikenali sebagai Sophia Koshka turut bertuah kerana diberi kepercayaan bergandingan bersama hero-hero besar gred A walau masih dalam kategori pendatang baharu.
Tidak dinafikan, daripada situlah mula bertebaran mulut-mulut nakal menggelar dan menyifatkan Sophia hanya selesa digandingkan dengan lelaki berstatus suami orang.
Manakan tidak, bermula dengan Fattah Amin, Keith Foo, Datuk Aaron Aziz, Shahz Jaszle, hinggalah terbaharu bersama bintang utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra, semuanya berstatus suami orang.
Tapi paling mendapat perhatian apabila Sophia dikatakan mempunyai hubungan istimewa bersama Shahz Jaszle selepas mereka kerap kali dilihat saling bermesra selepas digandingkan menerusi drama terbaharu, Cinta Hilang Kata.
Akui Sophia, tidak dinafikan dia memang berkawan rapat dengan Shahz dan selesa bersamanya selain sedia maklum lelaki itu sudah bergelar suami orang.
“Saya kenal Shahz Mac lalu ketika kami sama-sama terbabit dalam projek drama.
“Saya mengaku dia sangat peramah dan merupakan seorang rakan artis yang begitu baik.
“Ditambah sikap kami yang mudah mesra menyebabkan hubungan menjadi rapat. Walaupun kami tampak mesra tetapi tidaklah sampai tahap keterlaluan.
“Lagipun isteri Shahz selalu temani suaminya ke mana-mana termasuk ke set penggambaran. Dia pun faham sikap peramah dan ‘gila-gila’ suaminya itu.
“Paling penting, kami keluar bertiga atau berlima bersama anak-anak mereka.
“Saya pun ada ‘taste’ saya sendiri dan tak kacau suami orang,” katanya usai tayangan perdana filem terbaharu, Jerangkung Dalam Almari di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambah pelakon yang popular menerusi drama fenomena Suamiku Lelaki Pendosa itu, dia juga langsung tidak risau apatah lagi takut dengan spekulasi yang bertebaran disebabkan keikhlasan dalam perhubungan persahabatan yang terjalin.
“Ya jujur saya memang tak gusar kalau ada pihak yang nak berkata begitu. Ada juga yang labelkan saya hanya selesa berlakon bersama suami orang sahaja, itu terpulang.
“Apa yang saya boleh komen, saya hanya mampu buat yang sehabis baik dalam lakonan yang memerlukan saya untuk bergandingan bersama mereka, selebihnya saya enggan terlalu ambil pusing,” ujarnya menutup kata.