fbpx

Pandelela Rinong buru emas temasya Sukan Komanwel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD terjun negara berlepas ke Birmingham untuk menyertai saingan pada temasya Sukan Komanwel.

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg mengakui, telah menutup episod ‘duka’ sewaktu di Olimpik Tokyo, sekali gus tekad memberikan terbaik menjelang temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Menurut penerjun berusia 29 tahun itu, dia akan turun ke Birmingham dengan semangat luar biasa terutama kejayaannya menuai dua pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan lalu dan cuba memburu kilauan emas pada temasya kali ini.

Sukan Komanwel bukan asing buat Pandelela apabila dia berjaya meraih dua pingat emas ia­itu dalam acara 10m platform individu pada 2010 serta 10 meter (m) platform seirama bergandingan bersama Cheong Jun Hoong di Gold Coast, Australia 2018.

“Saya sudah lupakan apa yang berlaku di Tokyo dan fokus ke hadapan. Sudah pasti prestasi di Budapest sedikit seba­nyak memberi keyakinan kepada kami, tetapi saingan di Sukan Koman­wel bukan calang-calang pertandingan. Jadi, saya perlu berusaha dengan gigih lagi.

“Mengikut pengalaman saya apa-apa pun boleh berlaku, jadi saya akan beri terbaik dan berharap tuah berpihak kepada saya dan juga pasukan terjun negara,” katanya ketika ditemui di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Sewaktu di Tokyo, Pandelela menduduki tempat ke-12 dalam final 10 meter (m) platform wanita individu, manakala gandingannya bersama Datuk Leong Mun Yee bagi saingan 10m platform seirama wanita pula berakhir dengan kedudukan tempat kelapan.

Meskipun tiada wakil China di temasya itu, Pandelela enggan terlalu selesa kerana percaya masih lagi terdapat pencabar hebat yang mampu memberi kejutan di Birmingham.

“Banyak penerjun hebat di Sukan Komanwel antaranya dari Australia, Kanada dan England. Apa yang saya boleh lakukan ialah fokus pada diri sendiri dan pasukan,” jelasnya.

Pandelela akan mengetuai kem terjun wanita yang turut di­sertai rakan gandingannya dalam acara 10m platform seirama, Nur Dhabitah Sabri selain Kimberly Bong, Ong Ker Ying dan Ng Yan Yee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI