fbpx

Nenek penyayang tabah jaga 10 cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMILAH (tengah) terpaksa menggunakan air paip dari rumah berdekatan bagi kegunaan seharian keluarga di rumahnya di Kampung Pecah Gadung, Pokok Sena.

ALOR SETAR – Di sebalik pelbagai ujian dan kesempitan hidup yang dialami, seorang nenek tetap tabah mengurus dan membesarkan 10 orang cucunya di rumah serba daif di Kampung Pe­cah Gadung, Mukim Gajah Mati, Pokok Sena dekat sini.

Jamilah Abu, 63, berkata, ibu bapa kepada cucu-cucunya itu telah menghilangkan diri sejak 2018 lalu menyebabkan dia perlu menanggung keluarga dengan pendapatan bulanan sebanyak RM400 sebagai penoreh getah.

“Selepas pak cik mengalami kemalangan jalan raya pada 1990 lalu, saya terpaksa menjadi ketua rumah dan menanggung 10 cucu dan seorang cicit. Saya tidak sanggup berpisah dengan mereka walaupun ada pihak yang cuba membantu dan ingin mengambil cucu.

“Biar susah macam mana pun dan hanya makan nasi bercampur garam, saya tetap akan tetap menyara mereka hingga besar,” ujar­nya yang turut tinggal bersama seorang anak.

Menurut Jamilah, dia kini sangat memerlukan bekalan air dan elektrik bagi meneruskan kehidupan harian.

“Saya tinggal di sini sejak 60 tahun lalu dan hanya bergantung kepada bekalan air dari rumah berdekatan. Buat masa ini, saya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk memohon bantuan bekalan air.

“Begitu juga dengan bekalan elektrik apabila sehingga hari ini, kami hanya menggunakan lilin pada waktu malam. Kehidupan kami sekeluarga seperti berada di zaman sebelum merdeka walaupun di rumah jiran sudah memiliki bekalan elektrik,” katanya yang mendapat bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan.

Menurut Jamilah, dia dan anak serta cucu-cucunya terpaksa berteduh di rumah ber­kenaan walaupun serba daif dengan struktur rumah yang semakin mereput.

Dalam pada itu, mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan kewangan melalui Jamilah Abu di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0213-0411-0004-5835. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI