PETALING JAYA – Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas berjaya menewaskan Selangor FC 3-2 pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah bermula garang apabila mendahului seawal minit kelapan hasil jaringan Herlison Caion yang memanfaatkan kesilapan benteng pasukan pelawat.
Pasukan Selangor kendalian Michael Feichtenbeiner terus garang selepas meraih gol kedua menerusi tandukan Yazan Al Arab pada minit ke-30 dengan menyudahkan hantaran Mukhairi Ajmal.
Bersambung pada babak kedua, skuad Hobin Jang Hobin kendalian K. Devan enggan menekan butang panik dan berusaha untuk kembali menghidupkan peluang mencuri mata berharga.
Peluang NSFC akhirnya tiba hasil gol jaringan menerusi sepakan penjuru yang dilakukan oleh Gustavo Almeida pada minit ke-66.
Penyerang import dari Brazil itu sekali lagi mempamerkan ketajaman dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-80 untuk memastikan penjaga gol Selangor, Sam Sommerville tewas buat kali kedua.
Pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj muncul wira dengan meledak gol kemenangan untuk NSFC pada minit ke-88 sekali gus menjadi ‘duri dalam daging’ buat bekas kelab yang diwakilinya musim lalu.
Selangor berusaha untuk bangkit tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE