fbpx

Hattan simpati Ning Baizura jadi mangsa buli netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HATTAN (kanan) harap netizen berhenti melemparkan kecaman terhadap Ning gara-gara video tular nyanyian yang dikatakan terkucil baru-baru ini.

PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Hattan bersimpati terhadap nasib penyanyi Ning Baizura selepas menjadi mangsa buli netizen yang mempertikai mutu persembahannya menerusi lagu Awan Yang Terpilu yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Hattan atau nama lengkapnya Mohd. Shukri Shahabudin ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini yakin  Ning juga tidak mahu perkara sebegitu (masalah nyanyian) berlaku pada dirinya.

“Saya ada menonton video Ning yang tular dalam media sosial dan percaya dia pun tidak mahu perkara sebegitu berlaku.

“Saya tidak salahkan dia sebab daripada apa yang saya baca (laporan media), mungkin dia sudah terlalu letih selepas membuat persembahan selama empat hati berturut-turut dengan menyanyikan 20 buah lagu setiap malam,” katanya.

Ujar penyanyi berusia 57 tahun itu lagi, dia bersimpati dengan kejadian yang berlaku dan meminta netizen untuk terbuka hati dan memahami keadaan yang dialami pelantun lagu Curiga itu.

Malah Hattan secara peribadi turut mengakui bahawa penyanyi bersuara soprano itu merupakan salah seorang penyanyi hebat yang ada di Malaysia.

“Maafkanlah dia (Ning). Lagi pula dia pernah bersalin dan pasti ada masalah dalam nyanyian,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Rendang Tak Berbuah itu turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap netizen apabila bertindak menghakimi mutu nyanyian Ning dalam persembahannya pada hari kejadian sehingga melemparkan komen keterlaluan.

“Saya tidak suka tengok orang bantai dan membulinya.

“Kamu ingat dia nak nyanyi seperti itu ke? Cuma saya harap Ning kena dapatkan semula kekuatan vokalnya,” kata Hattan.

Selain faktor stamina, Hattan turut mengakui permainan emosi seseorang penyanyi itu juga boleh mempengaruhi mutu persembahan lebih-lebih lagi jika dinyanyikan dalam keadaan bersedih seperti yang dimaklumkan Ning menerusi kenyatannya kepada media.

Hattan sendiri pernah melalui pengalaman serupa apabila sukar untuk menyanyi kerana dibelenggu emosi sedih apabila teringat suatu kisah hiba yang berlaku.

“Saya juga pernah alami pengalaman serupa ketika melancarkan lagu 5 Oktober. Nyanyian saya tersangkut sebab teringat pada seseorang yang sudah meninggal dunia. Saya gagal untuk menghabiskan lagu tersebut.

“Kejadian seperti itu boleh (kesedihan) menyebabkan penyanyi hilang fokus ketika sedang menyanyi. Tapi Ning sudah pun buat yang terbaik,” ujarnya.

Sejak awal minggu lalu, tular sepotong klip video menunjukkan Ning atau nama lengkapnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 47, mengalami kesukaran untuk menyanyikan bahagian korus lagu Awan Yang Terpilu ketika membuat persembahan di sebuah kelab.

Video yang telah disunting itu kemudiannya mendapat perhatian netizen apabila mengecam dan mengutuk mutu nyanyiannya.

Ning bagaimanapun dalam satu kenyataan berkata, tindakan menyebar video tersebut disifatkan sebagai sengaja mahu menjatuhkan reputasinya sebagai penyanyi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI