PETALING JAYA – Hancur hati seorang anak tatkala mengetahui ibu pilih kasih dan lebih menyayangi adik berbanding dirinya.
Luahan hati itu dikongsikan oleh pengacara dan penyampai radio, Fedtri Yahya pada laman media sosialnya yang menerima mesej peribadi daripada individu tersebut.
Berdasarkan tangkap layar dikongsikan, dia terdengar perbualan ibunya menerusi telefon yang bercerita wanita itu lebih menyayangi adiknya.
“Dia memuji adik bagai malaikat, dia bercerita sentiasa mendoakan adik dimurahkan rezeki dan ada merendahkan saya dalam perbualannya.
“Malam ini adalah hari paling menyedihkan dan mengecewakan untuk saya sepanjang hidup. Gagal dalam kerjaya, sekolah dan percintaan pun tidak serapuh ini,” katanya.
Individu itu memberitahu, dia hanya mempunyai dua adik-beradik tetapi merasakan seperti anak yatim piatu.
“Hancur sangat hati, saya mungkin tidak ada duit dan tidak mampu beri sebanyak apa yang mampu adik beri.
“Tapi hari-hari saya doakan kesihatan dan kesejahteraan hidupnya. Sedih, sangat sedih.
“Terasa lebih baik saya tidak dilahir pun tidak mengapa,” katanya. -KOSMO! ONLINE