ALOR GAJAH – Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Masjid Tanah cedera selepas van dinaiki terbabas ke dalam longkang berhampiran Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Sungai Udang, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang berusia 42 dan 23 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Pengarah APM Melaka, Lt. Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, kemalangan berlaku ketika anggota terbabit dalam perjalanan ke pejabat selepas menghantar pegawai dan anggota di Akademi Latihan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) Sungai Udang.
“Laporan mengenai kemalangan diterima daripada Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah, Lt (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry pada pukul 9 pagi dan kejadian berlaku ketika hujan lebat.
“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan dipercayai berlaku selepas van yang dipandu anggota berusia 42 tahun tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemandu itu bagaimanapun hanya cedera ringan di jari, manakala penumpang berusia 23 tahun sedang dirawat di Hospital Alor Gajah selepas mengadu sakit pada dada dan kepala.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE