PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz mohon maaf susulan isu babak berpelukan dengan Intan Najuwa ketika penggambaran drama Jodohku Babysitter di Genting Highlands baru-baru ini.
Bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui teguran orang ramai adalah sebagai peringatan supaya dia terus peka dan sentiasa menjaga tingkah laku.
“Saya mohon maaf, pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Sebagai manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan, kita saling ingat mengingati agar dapat mengambil manfaat.
“Saya sedar penggambaran tidak boleh dijadikan alasan. Saya juga sedar matlamat tidak menghalalkan cara.
“Cuma, saya Aliff perlu lebih peka lagi selepas ini. Terima kasih kepada semua mendoakan, risau dan sayangkan saya.Saya sangat menghargainya.
“Teguran diberikan juga agar saya lebih berhati-hati. Mohon maaf pada mereka yang kecewa, hampa dan macam-macam lagi komen ditinggalkan,” katanya.
Aliff, 31, berkongsi luahan tersebut menerusi sesi langsung berdurasi kira-kira 10 minit yang disiarkan menerusi Instagram Live akaun miliknya, baru-baru ini.
Kata selebriti kelahiran Singapura itu lagi, ada dikalangan netizen juga terus melabelkannya sebagai penunggang agama selain dituduh masih tidak berubah sikap.
Luah Aliff lagi, segala perkongsian berkaitan agama di laman sosial bukan mahu menunjukkan dirinya sebagai orang baik atau pun wali, tetapi lebih kepada ingin menyebarkan dakwah.
“Macam-macam komen saya terima. Itu hak masing-masing. Ada cakap saya tunggang agama, saya masih tak berubah. Saya sebarkan dakwah bukan kerana saya orang alim atau warak.
“Saya penuh kisah silam. Banyak lagi perlu diperbaiki dan dipelajari. Sebenarnya semua orang nak jadi baik, cuma perjalanan kita berbeza.
“Bagi Aliff, itu hak masing-masing, malah ada yang cakap dirinya penunggang agama dan tidak berubah.
“Allahuakbar, semua orang ingin menjadi baik, cuma mungkin perjalanan kita berbeza, lebih lagi, medan kerja saya,” katanya.
Aliff berkata, selain teguran baik, dia juga tidak ketinggalan menerima komen kesat dan berbaur fitnah.
Bagaimanapun, katanya, dia enggan memanjangkan perkara itu, sebaliknya memilih memaafkan mereka.
“Saya maafkan mereka yang memberikan komen kesat dan berbaur fitnah kerana tidak mahu memanjangkan perkara ini.
“Cuma, saya berharap sekiranya ingin menegur jagalah adab. Bukan apa, benda-benda kesat tanpa usul periksa akan menjadi fitnah,” ulas suami kepada Bella Astilah itu.
Aliff juga tidak ketinggalan memberi penjelasan berhubung sikapnya yang lebih selesa menutup mulut ketika kontroversi tersebut hangat diperkatakan.
Katanya, dia tidak bermaksud melarikan diri, sebaliknya terpaksa bergegas pulang berikutan keadaan anak mereka, Muhammad Ayden Adrian, 5, dan Ara Adreanna, 2,
yang tidak sihat akibat jangkitan Influenza A.
“Ada yang mengatakan saya mahu lari kerana tidak memberikan sebarang komen sejurus kontroversi.
“Sejujurnya, saya tiada langsung mempunyai niat melarikan diri, sebaliknya berada dalam keadaan tertekan kerana anak-anak tidak sihat.
“Saya dan Bella terpaksa bergegas pulang untuk urusan kemasukan (anak-anak) ke hospital. Secara kebetulan, kebanyakkan hospital pula penuh.
“Jadi, apabila ada kelapangan selepas urusan hospital selesai, barulah saya dapat berikan penjelasan. Apa pun, sekali lagi saya mohon maaf.
“Saya mohon doakan saya dapat terus istiqamah untuk menjaga diri dan amal,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang pengguna di TikTok memuat naik video terserempak dengan Aliff berpelukan dengan Intan ketika mereka menjalani penggambaran Jodohku Babysitter di pusat peranginan tinggi.
Pernah berdepan pelbagai kontroversi sebelum berhijrah dan menyertai jemaah tabligh, keterbukaannya melakukan babak sedemikian nyata mengundang kecaman.
Terdahulu, pengarah drama berkenaan, Hadith Omar, juga sudah meminta maaf selain mengambil insiden tersebut sebagai pengajaran supaya lebih peka. – KOSMO! ONLINE