PETALING JAYA – Sudah kebal dengan kecaman, penyanyi sensasi Baby Shima sekali lagi menyorot perhatian netizen selepas melakukan aksi bergelek di atas jalan raya ketika melintas jalan berhadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Tindakan penyanyi dangdut itu bagaimanapun menuai pujian daripada peminat Indonesia kerana dianggap berani dan tidak takut akan kecaman daripada netizen di Malaysia.
Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Shima atau nama lengkapnya Nor Ashima Ramli dilihat sedang melintasi sebatang jalan di hadapan KLCC sebelum berhenti seketika dan bergelek ketika berada di atas garisan pejalan kaki.
“Bergoyang (bergelek) sebab kereta tak nak beri laluan!” katanya pada ruangan kapsyen.
Menerusi keterangan yang diberikan, dia difahamkan berbuat demikian kerana mengambil inspirasi daripada trend Citayam Fashion Week yang sedang viral di negara seberang.
Kelakuan ‘berani’ pelantun lagu Lalai itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pengikutnya bukan sahaja di Malaysia bahkan dari Indonesia.
“Hidup di Malaysia mentalmu sekuat itu? Luar Biasa,” ujar seorang peminatnya dari Indonesia.
Tidak kurang juga apabila ada pengikutnya menyamakan Shima persis seperti aktres kontroversi Indonesia iaitu Nikita Mirzani kerana berani melakukan hal-hal aneh.
“Baby Shima kalau di Malaysia seperti Nikita Mirzani. Cuma versi lebih lembut,” kata seorang pengikutnya.
Bahkan, terdapat peminatnya dari Indonesia mendoakan supaya Shima bakal menjadi seorang penyanyi dangdut terkemuka suatu hari nanti.
“Saya berharap semoga menjadi ‘ratu dangdut’ suatu hari nanti,” pinta seorang peminatnya.
“Mantap Baby Shima! Teruskan,” kata seorang lagi peminatnya dari Indonesia.
Sekadar info, nama pelantun lagu Lalai itu sentiasa panas dan menjadi mangsa kecaman netizen dengan pelbagai isu yang dibangkitkan dalam media sosial.
Tidak melatah mahupun beremosi, dia yang lebih sedekad bergelar penyanyi sudah lali dengan kecaman yang dilempar terhadapnya.
Malah, penyanyi itu mendedahkan, emosinya langsung tidak ‘koyak’ meskipun membaca setiap komen negatif dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE