KUALA SELANGOR – Penguatkuasaan Akta Produk Tembakau dan Merokok perlu dibuat penilaian secara menyeluruh sekurang-kurangnya bagi setiap tiga tahun selepas Rang Undang-Undang (RUU) itu diluluskan.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bertujuan mengenal pasti tahap keberkesanan dan impak pelaksanaan undang-undang baharu berkenaan.
Katanya, beliau yang turut menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, Sains dan Inovasi sudah menyatakan pandangan dan input mengenai RUU itu kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“Kita secara prinsipnya menyokong Akta Produk Tembakau dan Merokok namun segala aspek pelaksanaannya perlu diperhalusi dan dibahaskan nanti.
“Ia termasuk evaluasi atau penilaian yang harus dilakukan jawatan kuasa terlibat sekurang-kurangnya dalam tempoh setiap tiga tahun,” katanya ketika ditemui pada program Kempen Derma Darah dan Sihat Ijok di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ijok di sini, hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan kerajaan akan menyemak semula akta yang dicadangkan dibuat selepas 10 tahun dikuatkuasakan. – KOSMO! ONLINE.