SAN FRANCISCO, California – Datuk Bandar San Francisco, London Nicole Breed mengisytiharkan darurat kesihatan kelmarin susulan peningkatan jumlah kes cacar monyet, lapor akhbar NHK kelmarin.
Pengisytiharan darurat kesihatan membolehkan kerenah birokrasi dikurangkan dalam usaha memerangi wabak cacar monyet. San Francisco pernah berada dalam situasi porak-peranda apabila wabak AIDS melanda pada tahun 1980-an.
Pengisytiharan itu berkuat kuasa Isnin lalu dan disambut baik oleh golongan gay yang sebelum ini kecewa dengan sikap kurang mengambil berat pentadbiran San Francisco dalam membendung virus cacar monyet. Wabak itu setakat ini merebak dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki.
“San Francisco berada di barisan hadapan dalam tindak balas kesihatan awam terhadap HIV dan Covid-19 dan kami akan kekal demikian apabila melibatkan cacar monyet.
“Kami tidak boleh dan tidak akan membiarkan komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) tersisih daripada menerima rawatan serta perhatian,” kata Senator mewakili California, Scott Wiener.
Pegawai kesihatan San Francisco, Dr. Susan Philip pula berkata, kota metropolitan itu digambarkan sebagai ‘lubuk cacar monyet’ di Amerika Syarikat (AS).
Ini kerana 30 peratus daripada semua kes di California tertumpu di San Francisco.
San Francisco merangkumi 261 kes daripada 800 jangkitan yang direkodkan di California dan 4,600 di seluruh Amerika Syarikat, demikian menurut Jabatan Kesihatan Awam San Francisco.
Kekurangan vaksin cacar monyet menyebabkan orang ramai terpaksa beratur berjam-jam untuk emndapatkan dos yang terhad, malah mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana bekalan kehabisan. – Agensi