CAPE TOWN – Sekumpulan lelaki bersenjata memperkosa lapan wanita dalam satu kejadian mengerikan di Afrika Selatan semalam, lapor laman berita Wion News.
Ketika kejadian, sekumpulan individu seramai 22 orang terdiri daripada 12 wanita dan 10 lelaki sedang sibuk merakam video muzik apabila mereka diserang oleh kumpulan lelaki bersenjata dan berselimut.
“Suspek mengarahkan semua orang berbaring dan terus merogol lapan daripada 12 wanita itu kemudian merompak semua harta benda mereka sebelum melarikan diri,” kata Menteri Polis, Bheki Cele.
Kawasan kejadian itu terkenal di Afrika Selatan sebagai lokasi perlombongan haram.
Polis mengesahkan telah menahan 67 pelombong haram di kawasan itu tidak lama selepas kejadian dengan tiga daripada mereka maut ketika berbalas tembakan dengan polis.
“Siasatan masih diteruskan sama ada mereka yang bertanggungjawab merogol lapan wanita itu adalah antara 67 yang kini berada di dalam penjara,” kata Cele.
“Unit Keganasan Keluarga, Perlindungan Kanak-Kanak, dan Kesalahan Seksual sedang menyiasat 32 pertuduhan rogol berikutan kes rogol lapan wanita itu serta kes rompakan bersenjata,” kata polis. – Agensi