WASHINGTON – Sepasang suami isteri yang menggunakan nama palsu selama berdekad-dekad semasa menetap di Amerika Syarikat (AS), didakwa kerana mencuri identiti dan berkomplot menentang kerajaan.
Walter Primrose dan isterinya, Gwynn Morrison yang masing-masing lahir pada 1955, ditahan di Hawaii semalam, demikian menurut pihak berkuasa, manakala serbuan di kediaman suspek mereka menemui gambar mereka memakai uniform KGB.
Seorang hakim persekutuan memutuskan kelmarin bahawa si suami cenderung melarikan diri dan memerintahkan dia terus ditahan. Isterinya pula akan dihadapkan ke mahkamah minggu depan.
Menurut kertas pendakwaan, pasangan itu belajar bersama di Texas dalam tahun 1970-an dan berkahwin, juga di Texas pada 1980. Untuk sebab yang tidak diketahui, mereka menggunakan identiti Bobby Fort dan Julie Montague iaitu bayi yang meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya.
Pasangan itu kemudian berkahwin semula dengan menggunakan identiti baharu tersebut pada 1988. Pada 1994, Primrose menyertai pasukan Pengawal Pantai dan berkhidmat selama 20 tahun sebelum bekerja sebagai seorang kontraktor Jabatan Pertahanan.
Sepanjang tempoh itu, mereka mendapatkan beberapa dokumen rasmi menggunakan identiti palsu tersebut termasuk lesen memandu dan pasport.
Walaupun kertas pertuduhan tidak mengandungi jenayah pengintipan, kertas bantahan terhadap ikat jamin mereka menyatakan sebaliknya.
“Ejen-ejen persekutuan merampas sebilangan surat yang dialamatkan kepada pasangan itu dan merujuk kepada mereka dengan menggunakan nama selain daripada Bobby, Julie, Walter, atau Gwynn,” kata pendakwa raya persekutuan, Clare Connors sekali gus membayangkan mereka menggunakan berbilang nama palsu.
Seorang saudara-mara Morrison memberitahu pihak berkuasa bahawa wanita itu pernah tinggal di Romania ketika negara berkenaan masih blok komunis. – AFP