fbpx

Nilai positif luar biasa About Damn Time

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAGU About Damn Time sepintas lalu sangat tepat dengan keperibadian dan sifat luaran yang terzahir daripada penampilan Lizzo sendiri.

ANTEM berentak funk pop dan post disco dendangan Lizzo berjudul About Damn Time yang dipetik daripada diskografi terbaharunya berjudul, Special merupakan lagu nombor satu dunia ketika ini.

Terus menjadi siulan ramai, About Damn Time membuktikan bahawa Lizzo atau nama sebenarnya, Melissa Viviane Jefferson kekal relevan sebagai penyanyi terlaris dunia.

Selepas Truth Hurts, About Damn Time sekali lagi meletakkan namanya di takhta carta paling popular global, Billboard Hot 100.

Apa yang menarik sangat About Damn Time sehingga melekat terus dalam minda pendengar? Pertama sekali, muzik ibarat roda yang tidak pernah berhenti berputar.

Ramai artis sekarang seperti Beyonce, Dua Lipa, Bruno Mars, Lady Gaga dan bahkan rapper, Drake mendapat inspirasi menzahirkan karya dengan menyuntik elemen funk dan disco yang popular sekita era 1980-an.

Lizzo tidak terkecuali memasukkan elemen berkenaan dan percaturannya ternyata ‘menjadi’.

Energi, ‘vibe’ Donna Summer

Buat penulis secara peribadi, mendengar About Damn Time secara automatik memberi satu energi kepada setiap pendengarnya, termasuklah penulis.

Misalnya, sewaktu fikiran berkecamuk memikirkan pelbagai urusan seharian, melantun sahaja About Damn Time menerusi Spotify atau corong radio, hilang terus rasa kepayahan dan sangsi lantas memberi idea mendepani hari mendatang dengan cemerlang.

Kemasukan semula antem sebegini ketika dunia kini berdepan dengan pelbagai kebobrokan berkait ketidakstabilan politik, wabak itu dan ini dan perihal membimbangkan lain yang memberi tekanan terhadap emosi seseorang mungkin sesuatu yang bertepatan.

Dari segi komposisi muzik, kehadiran energi atau ‘vibe’ mendiang Donna Summer dalam About Damn Time terasa ketara.

Barangkali, disebabkan dunia muzik sekarang sudah ‘buntu’ jenis bunyi apa ingin disajikan kepada peminat, apa yang ditonjolkan atau dipaparkan Lizzo dalam perkongsian kali ini ‘mengena’ tepat dalam sanubari peminat muzik.

Rap, emosi ‘mengena’

About Damn Time kedengaran nyaman mengisi setiap ayunan langkah mahupun saat menyindiri di ruang kamar.

Seperti paparan muzik video rasminya, Lizzo memilih untuk berlari ke dunia ‘sendiri’ sedangkan teman-teman sekelas menunggunya membaca puisi atau menyelesaikan tugasan yang enggan dilaksanakannya.

Dari segi kualiti vokal, Lizzo sememangnya ‘rockstar’. Dia boleh memberi emosi terbaik, menyanyi dan rap dengan sempurna.

Paling penting, setiap butir perkataan yang dinyanyikan dalam About Damn Time, tiada satu pun yang tidak dimaksudkannya dengan sebaik dan sewajarnya. Itu kualiti seorang penghibur luar biasa.

About Damn Time. Sungguh, sebuah perkongsian antem daripada wanita yang tidak kisah atau ambil pusing tentang tanggapan dunia barangkali tentang saiz badannya. Bravo!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI