TEMASYA Sukan Komanwel Birmingham 2022 pastinya menjadi detik paling berharga buat atlet berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom memandangkan ia merupakan penampilan pertamanya dalam temasya sukan empat tahun sekali itu.
Dia yang juga adik kepada olimpian negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bagaimanapun, mengakui agak gementar memandangkan dia akan turun buat kali pertama pada temasya tersebut.
Justeru, Ridwan sedia untuk mengabaikan rasa gementar tersebut memandangkan dia mahu menampilkan aksi terbaik bagi memberi cabaran kepada atlet-atlet terbaik dunia dari negara lain.
“Segala persiapan berada dalam keadaan baik dan memang tujuan kami ke Birmingham adalah untuk mendapatkan kemenangan. Memang agak gementar kerana ini adalah kali pertama saya beraksi di Komanwel.
“Walaupun sedikit gemuruh tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik bagi mengatasi perasaan tersebut dengan mendengar lagu ataupun bercakap dengan rakan sepasukan,” katanya.
Pada masa sama, dia juga mengakui, kehadiran Shah Firdaus yang turut beraksi pada Sukan komanwel kali ini turut memberi sedikit kelegaan serta membakar semangat Ridwan.
“Kehadiran abang saya di sini juga sebenarnya jadi kelebihan untuk saya kerana dia sentiasa berikan kata-kata semangat setiap kali perlumbaan. Dia sentiasa pesan supaya buat yang terbaik serta jaga disiplin.
“Selain itu, Shah juga ada berikan beberapa tips berguna termasuk meminta saya lebih fokus serta belajar benda baharu ketika berada di velodrom. Kita tahu ramai pelumba terbaik ada di sini,” tambahnya.
Sebagai rekod, pada temasya Sukan Komanwel kali ini, Ridwan beraksi dalam empat acara, iaitu 1 kilometer (km) ujian masa individu, keirin, pecut individu serta pecut berpasukan.