JELI – Kerajaan Malaysia dan Thailand disaran untuk mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian berhubung isu ketirisan minyak masak bersubsidi yang menjadi barangan utama bagi kegiatan penyeludupan.
Timbalan Gabenor Narathiwat, Patimoh Sadiyamu berkata, pihaknya mengadakan pemantauan secara menyeluruh berhubung isu tersebut, namun campur tangan melibatkan kedua-dua belah pihak perlu dalam mengekang kegiatan tersebut.
Menurut, mengikut polisi kerajaan Thailand, pihaknya sentiasa memantau kegiatan penyeludupan dan mengingatkan rakyatnya agar tidak melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Ketika ini, bukan sahaja minyak masak peket diseludup ke Thailand, malah beras Siam juga dibawa keluar dari negara ini secara haram.
“Kedua-dua negara perlu tegas tangani isu penyeludupan dengan memperketatkan polisi sedia ada bagi memberi amaran kepada orang ramai bahawa kegiatan itu menyalahi undang-undang,” katanya pada program Kayuhan Muhibah Malaysia-Thailand di sini hari ini.
Hampir 2,000 peserta dari kedua-dua negara menyertai kayuhan sejauh 20 kilometer itu yang melibatkan pelbagai peringkat usia.
Dalam perkembangan sama, Patimoh berkata, hubungan Thailand dan Malaysia akan bertambah baik apabila pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok siap sepenuhnya kelak.
Kerajaan meluluskan peruntukan RM210 juta pada November 2020 bagi membina jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok untuk mengatasi beberapa isu antaranya kesesakan trafik keluar masuk di kedua-dua negara selain merancakkan pertumbuhan ekonomi. – KOSMO! ONLINE