LONDON – Kadar kematian akibat Covid-19 di Britain mencatatkan lonjakan pada hari negara berkenaan merekodkan suhu paling panasnya, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Pakar-pakar kesihatan melihat situasi tersebut sebagai petanda pertama kemungkinan berlaku peningkatan kematian Covid-19 akibat gelombang haba.
Angka rasmi menunjukkan 258 orang yang dijangkiti virus Covid-19 meninggal dunia pada 19 Julai lalu di England, hari yang sama suhu mencecah 40.2 darjah celcius.
Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 100 kes (68 peratus) dalam masa seminggu. Ia juga jumlah kematian harian tertinggi sejak April lepas ketika jangkitan berada pada tahap tertinggi menyamai rekod terdahulu.
Bagaimanapun, jumlah kematian semasa itu masih kecil berbanding ketika Britain berdepan kemuncak wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Saintis- saintis berkata jangkitan Covid-19 berada pada tahap yang sangat tinggi ketika gelombang haba melanda Britain.
Mereka menyatakan bahawa peningkatan kematian mungkin berlaku dalam kalangan orang yang menghidap penyakit berkaitan gelombang haba tetapi pada masa yang sama, dijangkiti Covid-19.
Angka kematian harian Covid-19 di Britain meningkat secara perlahan-lahan sejak awal bulan ini, manakala 3.1 juta penduduk Britain dijangkiti koronavirus pada hari-hari menjelang 19 Julai lalu.
Gelombang haba menyebabkan sehingga 2,000 rakyat Britain meninggal dunia setiap kali musim panas kerana dehidrasi dan serangan strok haba yang menyebabkan darah beku, strok dan kemerosotan kesihatan dalam kalangan mereka yang sudah berpenyakit.
Kemalangan dan kecederaan termasuk kemalangan kereta, juga lebih kerap berlaku semasa musim panas.
Walaupun angka kematian sebenar yang dikaitkan dengan dua hari paling panas minggu lalu tidak akan diketahui dalam tempoh beberapa bulan ini, pakar-pakar menganggarkan lebih 800 orang mati di seluruh Britain pada Isnin dan Selasa lalu sahaja.
Bagaimanapun, tidak semua kematian itu disebabkan oleh virus Covid-19 semata-mata.
Data berasingan menunjukkan Covid-19 menjadi punca hanya enam daripada 10 kematian yang terkandung dalam statistik kerajaan.
Pakar Penyakit Berjangkit Universiti East Anglia, Profesor Paul Hunter, memberitahu bahawa gelombang haba boleh membunuh dalam jumlah yang sangat besar.
“Sebahagian daripada peningkatan kematian adalah tiada kaitan dengan jangkitan Covid-19, manakala kematian lain adalah dalam kalangan orang yang dijangkiti dan sepatutnya boleh diselamatkan sekiranya gelombang haba tidak melanda,” kata Hunter. – Agensi