ALOR GAJAH – Kerajaan berkemungkinan tidak akan meneruskan perlaksanaan harga siling ayam bulat RM9.40 sekilogram selepas 31 Ogos ini susulan bekalan makanan keperluan itu kembali stabil di seluruh semenanjung negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, kini bekalan ayam telah melebihi permintaan pasaran, sekali gus mempengaruhi penurunan harga mencecah RM6.99 sekilogram.
Katanya, kebanyakan penternak juga tidak lagi berdepan dengan masalah pengeluaran disebabkan isu tumbesaran, ayam sakit dan sebagainya.
“Dulu kita ada isu bekalan ayam tidak cukup yang menyebabkan berlaku kenaikan harga dan kerajaan memperkenalkan harga siling ini bagi mengawal kadar pasaran.
“Bila kita perkenalkan harga RM9.40 telah berlaku kebenaran untuk import dan bekalan kembali stabil, hari ini ayam juga lebih sihat dengan berat seekor ayam lebih daripada dua kilogram,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sebuah kilang permainan kanak-kanak di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee sebelum ini untuk mengkaji semula penetapan harga siling ayam standard serta kebenaran mengeksport selepas 31 Ogos depan.
Mengulas lanjut mengenai situasi terkini harga minyak masak, Azman memberitahu para pengguna dijangka akan menikmati penurunan harga tersebut bermula minggu hadapan.
“Kita lihat minyak masak sawit botol tak bersubsidi telah pun telah mulai turun, sampai kepada harga RM29.
“Mungkin ada jenama-jenama baharu (yang dikeluarkan pemain industri), jadi dalam hal ini memudahkan rakyat untuk membuat pilihan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.