fbpx

Jong-un sedia gerak senjata nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jong-un bersama isterinya, Ri Sol semasa sambutan ‘Hari Kemenangan’ pada 27 Julai lalu. -AFP

PYONGYANG – Pemimpin tertinggi, Kim Jong-un menegaskan bahawa Korea Utara bersedia menggerakkan senjata nuklear dalam konfrantasi dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan pada masa hadapan, lapor media pemerintah kelmarin.

Washington dan Seoul berulang kali memberi amaran bahawa Pyongyang bersiap sedia untuk melakukan ujian nuklear ketujuhnya, langkah yang akan mengundang tindak balas ‘pantas dan keras’ dari  AS.

Dalam ucapan terbaharu Jong-un sempena gencatan senjata yang menamatkan Perang Korea dan dikenali sebagai ‘Hari Kemenangan’, beliau berkata, angkatan bersenjata Korea Utara bersiap sedia sepenuhya untuk menghadapi sebarang krisis.

“Kita bersedia menggerakkan senjata nuklear secara tepat dan pantas,” kata Jong-un dalam satu ucapan Rabu lepas seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi KCNA.

Ancaman terbaharu Jong-un itu dibuat ketika Korea Selatan dan AS mengorak langkah untuk meningkatkan latihan tentera bersama yang mengundang kemarahan Korea Utara. Pyongyang menganggap latihan bersama itu sebagai ‘raptai pencerobohan’.

Pada minggu ini, tentera AS kali pertama mengadakan latihan tembakan peluru hidup menggunakan helikopter-helikopter canggih jenis Apache yang ditempatkan di Korea Selatan sejak 2019.

Ditanya tentang amaran  Jong-un, jurucakap  Jabatan Negara AS, Ned Price berkata, kenyataan keras itu tiada beza daripada retorik Korea Utara sebelum ini.

“Korea Utara juga tidak akan terkejut mendengar retorik sama daripada kita iaitu komitment kita untuk mempertahankan Korea Selatan dan Jepun,” kata Price kepada pemberita di Washington.

Dalam pada itu, Jong-un turut mengecam Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol yang mengambil alih kuasa pada Mei lalu. Suk-yeol berikrar akan mengambil pendekatan lebih keras terhadap jirannya termasuk rancangan menggerakkan keupayaan serangan awal.

“Berani beliau bercakap mahu mengambil tindakan ketenteraan ke atas negara kita yang memiliki senjata muktamad (nuklear)  dan  paling ditakuti mereka (Korea Selatan).

“Percubaan bahaya itu akan segera dihukum oleh kekuatan kita dengan kerajaan serta tentera Suk-yeol akan dihapuskan,” kata Jong-un.

Korea Utara paling banyak melakukan ujian senjata pada tahun ini termasuk melancarkan peluru berpandu antara benua pada jarak penuh untuk kali pertama sejak 2017.

Rundingan nuklear antara Pyongyang dan Washington tergendala sejak sidang kemuncak antara Jong-un dan Presiden AS ketika itu, Donald Trump pada Februari 2019.

Sejak itu, rejim Jong-un menolak tawaran berulang kali oleh Washington dan Seoul untuk menyambung semula rundingan nuklear. Pyongyang sebaliknya bertegas bahawa AS  perlu memansuhkan dasar permusuhan terhadap Korea Utara terlebih dahulu. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI