fbpx

Hidupkan semula Rancangan Buku Hijau – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin menyampaikan titah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Ipoh hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar Rancangan Buku Hijau yang dilaksanakan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dihidupkan semula.

Baginda bertitah, Rancangan Buku Hijau yang dilancarkan pada 1974 itu bukan sahaja dihidupkan semula malah gagasan berkenaan wajar dikunjungi dan disuntik nafas baharu bagi mengekang kebergantungan keterlaluan terhadap bahan makanan import.

“Rancangan Buku Hijau ialah satu gagasan penting untuk mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan kepentingan sektor lain.

“Malangnya wawasan keselamatan makanan yang dirintis oleh Tun Abdul Razak turut dikuburkan bersama jasad Tun Abdul Razak,” titah baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Menurut baginda, ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970, sektor pertanian di negara kita menghasilkan 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, namun menurun kepada 10.5 peratus pada 2000.

Titah baginda jumlah tersebut terus menurun kepada 7.4 peratus pada 2020, dengan sumbangan 48 peratus bernilai RM52 bilion subsektor pertanian makanan.

“Perangkaan 2020 menunjukkan 5.3 juta hektar tanah di negara kita ialah tanah pertanian. Namun atas perkiraan komersial, hanya 900,000 hektar menyamai 17 peratus digunakan untuk menghasilkan makanan, baki 4.2 juta hektar, menyamai 83 peratus digunakan untuk tanaman kontan komoditi kelapa sawit dan getah.

“Untuk memenuhi keperluan domestik, dalam setahun Malaysia mengimport 88 peratus daging kambing bernilai RM879 juta, 76 peratus daging lembu bernilai RM2.2 bilion, mangga bernilai RM87.9 juta, kelapa bernilai RM266 juta, walaupun pokok kelapa begitu mudah tumbuh dan berbuah di bumi ini.

“Kita juga mengimport kopi, bawang, kentang, sotong, susu segar, kubis bulat, cili dan halia,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI