UBON RATCHATHANI – Satu pingat emas sekurang-kurangnya sudah berada dalam genggaman kontinjen negara untuk acara badminton individu Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.
Ia selepas dua wakil negara akan berentap sesama sendiri pada aksi final beregu wanita di Dewan Badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat esok.
Beregu wanita negara, Teoh Lexuan-Yap Rui Chen menumpaskan lawan dari Indonesia Nahla Aufa Dhia Ulhaq-Elizabeth Jovita 21-6, 21-12 pada aksi separuh akhir hari ini.
Lexuan-Rui Chen akan bertemu pasangan Desiree Siow-Ng Qi Xuan selepas berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Sasikarn Piyawatcharavijit-Pornnicha Suwatnodom 21-13, 19-21, 21-15 dalam satu separuh akhir.
“Kita menyasarkan lebih banyak pingat pada pertarungan final esok. Barisan pemain berada pada keadaan terbaik untuk memastikan kejayaan berpihak kepada Malaysia,” kata ketua jurulatih pasukan badminton AUG, Datuk Rashid Sidek.
Selain beregu wanita, pemain perseorangan lelaki negara, Faiz Rozain juga mara ke final selepas wakil Indonesia, Muhammad Febriansyah menarik diri pada set kedua kerana masalah kecederaan.
Kem badminton negara turut mempunyai dua lagi wakil di pentas final esok iaitu beregu lelaki, Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin dan beregu campuran Kok Xian Tan-Desiree Siow.
Ia secara tidak langsung membuka peluang cerah buat skuad badminton negara untuk melepasi sasaran tiga pingat emas selepas terdahulu menjuarai acara berpasukan lelaki dan wanita semalam. – KOSMO! ONLINE