PETALING JAYA – “Ning sudah membuktikan kehebatan dirinya bukan daripada satu persembahan tetapi keseluruhan kerjaya nyanyiannya.”
Itu kata rakan selebriti, Damian Mikhail mempertahankan penyanyi Ning Baizura susulan video tular dalam media sosial membabitkan persembahannya menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu yang dikecam sumbang, baru-baru ini.
Ujar Damian yang juga merupakan seorang komposer dan penerbit lagu, ramai vokalis hebat dunia juga pernah berdepan situasi sama apabila nyanyian ‘terpeleot’ ketika persembahan secara langsung atau ‘live’.
“Faktor-faktor nyanyian kita ‘terpeleot’ adalah kerana keadaan udara yang banyak asap, tekak terlalu kering dan tak cukup tenaga.
“Mungkin juga berlaku disebabkan keletihan vokal dan keadaan tak cukup tidur, lagi berusia kita, otot-otot vokal menjadi kurang fleksibel termasuk kerana masalah kesihatan seperti demam, selesema dan penyakit tekak seperti laringitis.
“Vokalis bertaraf hebat satu dunia pun pernah lalui saat ini. Whitney Houston, Stevie Wonder, Chaka Khan. Semua pernah ‘crack’ masa buat persembahan,” katanya.
Terdahulu, Ning atau nama sebenarnya, Ning Baizura Sheikh Hamzah bagaimanapun tidak berkecil hati dengan kecaman yang mempertikaikan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi hanya disebabkan satu video disunting netizen dan kemudian ditularkan.
“Terima kasih kerana menularkan persembahan saya. Sekarang, saya dah ada 333,000 pengikut Instagram.
“I love being viral,” kata Ning yang telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam industri muzik dan lakonan termasuklah Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular.
Ning, 47, memaklumkan kepada sebuah portal bahawa persembahan selama empat hari berturut-turut dengan menyampaikan 20 buah lagu, malah nilai sentimental lagu berkenaan turut menjadi faktor menjadikan dirinya begitu beremosi di atas pentas nyanyian. – KOSMO! ONLINE