PETALING JAYA – Pingat emas pertama Malaysia akhirnya muncul menerusi atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan selepas melakukan kejutan menjadi juara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham sebentar tadi.
Aniq yang ketinggalan 6 kilogram (kg) di belakang atlet India, Sanket Mahadev Sargar dalam acara snatch bangkit melakukan angkatan keseluruhan 249kg dalam clean and jerk.
Sargar yang mengalami kecederaan sekali gus hanya mampu melakukan angkatan keseluruhan 248kg.
Lebih manis, Mohamad Aniq memecah rekod Sukan Komanwel dalam clean and jerk selepas melakukan angkatan 142kg.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini dan pengorbanan saya selama ini akhirnya membuahkan hasil. Emas ini buat semua rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, atlet Sri Lanka, Dilanka Isuru Kumara Yodage menduduki tempat ketiga dengan jumlah angkatan keseluruhan 225kg.
Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyasarkan satu pingat emas dan dua pingat perak mampu dituai di Birmingham, England.
Ketika penampilan di Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, pasukan angkat berat negara meraih dua pingat emas masing-masing dalam acara 56 kilogram (kg) dan 62kg. – KOSMO! ONLINE