fbpx

Tulang rusuk terhimpit, Zamani akur jalani pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI Slam ketika ditemui Aznil baru-baru ini.

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Zamani Slam mengakui sebenarnya takut untuk menjalani pembedahan bagi merawat penyakit tulang belakang melengkung atau skoliosis yang dihidapi sejak 2019.

Paling dirisaukan, penyanyi berusia 51 tahun itu tidak sanggup untuk berdepan dengan risiko tidak terduga seperti lumpuh kekal  jika pembedahan tidak berjalan lancar.

Bagaimanapun pemilik nama lengkap Zamani Ibrahim itu terpaksa akur demi memikirkan kesihatan, apatah lagi keadaan tulang belakangnya yang semakin membengkok sehingga menghimpit tulang rusuk kanan.

“Buat masa sekarang saya kena rujuk pakar neurologi terlebih dahulu. Tetapi ujian ujian Pengimejan Resonans Magnetic (MRI) sudah selesai. Sebenarnya saya pun takut, tengok keadaan tulang saya, sangat teruk.

“Sekarang saya dah mula rasa sakit. Dia kacau tulang rusuk kanan. Pada mulanya saya khuatir tapi demi kesihatan, kita ikhtiar. Alhamdulillah, mujur saya tiada penyakit serius yang lain,” katanya.

Vokalis kumpulan Slam itu berkata demikian dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram Datuk Aznil Nawawi ketika pengacara popular itu datang bertemu dan memaklumkan tentang penyerahan sumbangan orang ramai untuk kos pembedahannya.

Sehingga kini, Aznil sudah pun memindahkan sejumlah lebih RM120,000 ke dalam akaun Zamani hasil sumbangan orang ramai yang ikhlas membantunya.

“Dalam masa beberapa jam sahaja, saya dah dapat kutip RM30,000. Kemudian pagi esoknya bangun subuh, tengok-tengok sudah ada RM60,000.

“Ramai orang sayang Zamani dan mereka percaya saya. Saya ada dua juta pengikut Instagram tetapi apa gunanya kalau ada jumlah seramai itu tetapi tak bagi manfaat kepada orang lain,” kata Aznil.

Sementara itu tambah Zamani lagi, selama ini dia hanya bergantung dengan ubat tahan sakit tetapi bimbang andainya tindakan tersebut akan menyebabkan perkara lain berlaku.

“Kalau ikutkan memang saya tak nak buat pembedahan tetapi tiada cara lain. Sampai bila nak bergantung dengan ubat. Sekarang nak tidur malam pun susah,” ujarnya lagi.

Kata Zamani, keadaan tulangnya yang semakin membengkok berlaku disebabkan ada otot yang langsung tidak berfungsi menyokong tulang belakangnya.

“Doktor kata otot saya langsung tak berfungsi, tak sokong tulang belakang. Cuma saya difahamkan, tulang masih boleh dibaiki guna besi. Tetapi otot sahaja bermasalah.

“Doktor kaitkan sakit saya dengan penyakit yang pernah terjadi kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Allahyarham Mokhtar Dahari. Kalau otot ada masalah, memang tak boleh buat pembedahan,” katanya.

Dedah Zamani lagi, keadaan tulangnya yang membengkok sekarang mungkin bermula daripada kejadian jatuh terlentang akibat tergelincir di dalam bilik air satu ketika dahulu.

“Saya pernah jatuh terlentang di rumah. Waktu itu saya baru balik daripada menjayakan satu persembahan. Tak tahan nak buang air, saya berlari ke tandas. Tetapi tak perasan di atas lantai ada air yang keluar dari peti ais,” kongsinya.

Penyakit tulang belakang melengkung atau skoliosis dihidapi Zamani semakin serius sejak 2019 sehingga keadaan tubuhnya yang membengkok tidak dapat disembunyikan lagi daripada peminat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI