fbpx

Taktik sindiket ubah suai kenderaan untuk seludup diesel terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Amir menunjukkan tangki tambahan yang dirampas dalam serbuan di sebuah stesen minyak sekitar Kangar, Perlis semalam.

KANGAR – Tindakan licik sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang melakukan pengubahsuaian terhadap tangki kenderaan tumpas setelah ditahan pihak berkuasa menerusi serbuan di sebuah stesen minyak, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis menyita 500 liter diesel, enam tong (jerry can) dan sebuah pacuan empat roda dengan nilai rampasan dianggarkan RM22,135.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Mohamad Amir Abdullah berkata, menerusi siasatan awal, sindiket itu dikenal pasti menambah dua tangki tambahan pada kenderaan pacuan empat roda.

“Kebanyakkan sindiket dipercayai melakukan pengubahsuaian kenderaan dengan menambah tangki tersebut di Thailand dengan kos kira-kira RM1,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat KPDNHEP Perlis, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain tangki tambahan, pihaknya juga menemui enam tong (jerry can) kosong di dalam kenderaan tersebut yang dipercayai digunakan bagi mengisi bahan kawalan.

“Hasil siasatan mendapati terdapat transaksi pembelian diesel secara tunai kepada stesen minyak tersebut oleh seorang suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an,” ujarnya.

Tambahnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan melakukan pembelian diesel di beberapa buah stesen minyak di negeri ini dan menjualnya semula kepada pihak ketiga.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka dibawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI