SHAH ALAM – Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Anti Lompat Parti di Selangor dijangka digubal dan dibentangkan pada sidang belanjawan negeri itu November depan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim (he) berkata, pembentangan RUU itu akan menjadikan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam sebagai rujukan agar tidak berlaku sebarang percanggahan.
“Kita akan ikut modul (RUU) seperti dilaksanakan oleh Dewan Rakyat kerana tidak mahu ada sebarang pertikaian pada masa hadapan.
“Kita di peringkat negeri sudah pasti akan mengikut jejak langkah Parlimen dan saya akan berbincang dengan Ketua DUN iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat agar Selangor mengikut langkah itu secepatnya,” katanya pada pemberita di lobi DUN, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang dilaporkan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan semua negeri di bawah pentadbiran mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri secepat mungkin, selepas RUU itu diluluskan.
Suee Lim turut tidak menolak kemungkinan sidang DUN khas akan diadakan sekiranya terdapat permintaan khusus untuk RUU anti lompat itu segera dibentang.
“Kalau ada keperluan mendesak kita akan adakan sidang khas. Itu terpulang kepada Menteri Besar sebagai ketua dewan untuk mengadakannya. Kita tidak ada masalah dan bila-bila masa boleh buat,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE