JIKA ditanya generasi muda hari ini mungkin ramai mengakui ikan sepat benua, ikan lampam jawa, tilapia dan baung ekor merah adalah ikan sungai kita.
Namun tidak ramai yang tahu ia adalah ikan-ikan luar yang kini mendominasi perairan awam termasuklah sungai, tasik, empangan dan parit.
Berdasarkan rekod terdapat 282 spesies ikan asli yang hidup di perairan awam negara pada masa ini, manakala terdapat kira-kira 50 spesies ikan luar telah masuk ke ekosistem semulajadi.
Ada yang boleh hidup bersama dengan spesies tempatan seperti sepat benua dan lampam jawa tetapi ada yang menjadi ancaman besar kepada ikan tempatan seperti baung ekor merah dan peacock bass.
Malah sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia, Sungai Pahang sepanjang 459 kilometer yang menyimpan khazanah sungai berharga seperti patin buah turut diancam dengan kewujudan ikan pemangsa luar ini.
Kepupusan ikan patin muncung telah berlaku apabila ia tidak lagi ditemui sejak tujuh tahun lalu, mungkin selepas ini banyak lagi ikan sungai tempatan seperti patin buah, kelah bakal lenyap dan menjadi sejarah.
Kini sungai Pahang sudah mula didominasi baung ekor merah yang merupakan pemangsa ganas yang ditangkap hampir setiap hari dengan berat mencecah lebih 50 kilogram (kg) seekor.
Terbaharu alliggator gar, ikan dengan mulut seakan buaya sudah mula dikesan mendiami Sungai Pahang selepas seorang nelayan sungai berjaya menangkap ikan itu seberat 4kg.
Alligator gar yang berasal dari lembangan Sungai Missisippi di bahagian Timur Amerika Utara yang pernah merekodkan berat sehingga 159kg pastinya menjadi pemangsa baharu yang lebih agresif memburu dan menghapuskan ikan kita.
Dengan kemampuan bertelur sebanyak 150,000 biji bagi seekor ikan invasif itu pastinya akan membawa bencana besar buat sungai Pahang.
Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Amiruddin Ahmad berkata, ikan ini menjadi ancaman kepada populasi ikan tempatan yang menjadi makanannya dan boleh membunuh hampir setiap ikan lain yang lebih kecil.
Jelasnya, ikan karnivor itu dengan nama saintifik atractosteus spatula boleh menjadi invasif dalam masa yang singkat dengan memusnahkan ekosistem dan biodiversiti tempatan.
Ujarnya, ketika ini ikan baung ekor merah telah menjadi spesies yang sering ditangkap dan selepas ini tidak mustahil alligator gar pula akan mula membiak memandangkan habitat Sungai Pahang menyediakan sumber sesuai untuk spesies ikan itu.
Kegagalan dalam mengekang kemasukan ikan-ikan luar ini dipintu masuk negara yang sentiasa dikawal, diselia perlu diberi perhatian agar tiada lagi yang terlepas membawa ikan ini untuk menjajah sungai kita.
Giatkan pemantauan di pintu masuk malah di kedai-kedai ikan hiasan dan masukkan larangan melepaskan ikan eksotik ke perairan awam negara yang belum dilaksanakan lagi meskipun ikan-ikan ini jelas dilarang disimpan.
Mungkin kerakusan ikan-ikan luar ini akan menjadikan satu hari nanti, ikan-ikan sungai negara kita bukan sahaja pupus, malah setiap dari kita turut takut untuk masuk sungai kerana bimbang digigit ikan piranha.
Ambillah tindakan segera yang tuntas agar kita tidak berasa bersalah. Selamatkan Sungai Pahang ini daripada ‘dijajah’.