JAKARTA – RichWorks International Sdn. Bhd melalui rakan niaga, RichWorks Indonesia buat pertama kali dijemput untuk mengadakan sesi khas bisnes coaching secara langsung di sini, esok (Sabtu).
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd., pihaknya berasa teruja dengan sokongan padu diberikan Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif (Menparekraf), Sandiaga Uno dan pasukannya dalam merealisasikan kerjasama strategik seperti dibincangkan awal Jun lalu.
“Meskipun jadual Bapak Sandiaga sangat padat, komitmen beliau jelas bagi menyokong pembangunan usahawan Indonesia terutama dalam ekonomi kreatif di sana.
“Pengasas RichWorks dan mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman bukan saja akan berkongsikan ilmu, malah tunjuk ajar secara langsung menyelesaikan masalah usahawan ketika krisis,” katanya ketika dihubungi.
Sesi Offline Bisnis Coching Bagi Wirausaha @Jakarta ini secara tak langsung membuatkan RichWorks dapat mengenal secara dekat permasalahan dan cabaran dihadapi usahawan di Indonesia.
Radz menambah, sesi itu akan diadakan di dewan kementerian itu sendiri yang boleh memuatkan sekitar 200 peserta termasuk petugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sementara itu, ketika sesi online Bangkit Bisnis Dari Krisis pada 16 Julai lalu, Sandiaga merakamkan penghargaan kepada RichWorks dan Azizan kerana dapat bersama-sama berkongsikan kepakaran yang ada.
Katanya, sesi itu pastinya memberikan idea dan panduan diperlukan bagi seseorang usahawan agar mampu mengharungi cabaran dalam bisnes daripada Azizan yang merupakan seorang mentor kelas dunia.
“Peserta-peserta juga bertuah di mana 50 usahawan terbaik berpeluang mengikuti bimbingan bisnis di Bali pada September nanti,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE