fbpx

PTPTN: Pinjaman cecah RM66.87 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI meluangkan masa melawat ruang pameran mengenai sejarah PTPTN kelmarin.

KUALA LUMPUR – Sejak 25 tahun lalu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah membantu kira-kira 3.67 juta Keluarga Malaysia bagi meneruskan pengajian dengan pemberian pinjaman berjumlah RM66.87 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan bantuan terbabit, ramai Keluarga Malaysia telah menamatkan pengajian dan memperolehi pekerjaan yang baik.

Menurut beliau, secara tidak langsung ia telah menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset ataupun modal insan penting kepada negara.

“Suka saya tekankan di sini bahawa tindakan membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara.

“Saya difahamkan, sehingga akhir bulan lepas, lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini kelmarin.

Turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

MUHAMMAD HAFIDZUDDEN menunjukkan anugerah dan sijil penghargaan pada sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN di MECC Kuala Lumpur kelmarin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dengan pelancaran aplikasi yang dikenali sebagai myPTPTN pada 29 Mac lalu, ia dapat memudahkan urusan bayaran balik pinjaman dan pelbagai urusan berkaitan PTPTN.

“Melalui myPTPTN, pelanggan dapat menyemak penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, semakan penyata Simpan SSPN, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN serta permohonan potongan gaji dan Debit Terus bagi bayaran balik pinjaman dan Simpan SSPN, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dengan mudah, cepat dan selamat.

“Saya difahamkan, seramai 176,140 pengguna telah mendaftar aplikasi tersebut sehingga 30 Jun lepas,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Selain itu katanya, kerajaan telah mewujudkan inisiatif Simpan SSPN sejak 2004 bagi memastikan Keluarga Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman semata-mata dan tidak terbeban di kemudian hari.

“Simpan SSPN telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan keseluruhan deposit simpanan berjumlah RM12.5 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 5.4 juta sehingga akhir bulan lepas,” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, bagi memupuk kesedaran menabung dalam kalangan Keluarga Malaysia, PTPTN telah melancarkan Kelab Simpanan Pendidikan untuk memupuk kesedaran kepentingan menabung demi masa depan melalui Simpan SSPN.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, pihak PTPTN amat menghargai jasa, sumbangan serta kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi awam serta individu sepanjang 25 tahun penubuhannya.

Katanya, ia termasuklah kerjasama PTPTN dengan kerajaan negeri untuk memberikan insentif berupa akaun Simpan SSPN kepada bayi yang baru dilahirkan.

“Begitu juga dengan pihak kementerian dan agensi awam yang telah memberikan insentif atau hadiah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan masing-masing dalam bentuk akaun Simpan SSPN.

“Selain itu, PTPTN juga turut memberikan penghargaan kepada peminjam PTPTN yang berjaya menamatkan pengajian dan seterusnya memberikan sumbangan kepada keluarga dan negara,” jelas beliau.

Ismail Sabri menambah, PTPTN juga memberikan tumpuan kepada aspek penabungan dalam kerjasama strategik dalam meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman.

“Saya difahamkan kerjasama ini telah mula diadakan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dengan amaun yang disumbangkan lebih daripada RM30 juta,” jelasnya.

“Langkah kerjasama ini amat baik dan perlu dipertingkatkan dengan semua kerajaan negeri. PTPTN menyasarkan kutipan balik pinjaman melalui inisiatif ini adalah sebanyak RM 50 juta,” ujar beliau.

Achmad Noorasyrul menunjukkan anugerah dan sijil penghargaan pada sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN di MECC Kuala Lumpur kelmarin.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Peminjam PTPTN, Achmad Noorasyrul Noortaip, 35, berkata, dia tidak menyangka kerana telah terpilih menerima anugerah tersebut kerana telah lama meninggalkan universiti.

“Terima kasih PTPTN kerana memilih saya menerima anugerah ini. Saya masih ingat sewaktu diterima belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan, Sarawak pada tahun 2005, ketika itu saya risau memikirkan tentang pembiayaan untuk pengajian di sana kerana sebelum itu keluarga telah banyak meminjam untuk tujuan pengajian saya.

“Maklumlah saya datang dari keluarga yang serba kekurangan, nasib baiklah semasa di UiTM, PTPTN ada buat program pengenalan pinjaman dan permohonan pinjaman saya telah diluluskan.

“Dengan pinjaman tersebut saya dapat meneruskan pengajian dalam Diploma Pengurusan Pelancongan sehingga bergelar graduan,” kata Pengarah Urusan Idolegacy Sdn. Bhd. itu.

Bagi penerima Anugerah Tokoh Keluarga Malaysia, Muhammad Hafidzudden Amin, 30, pula memaklumkan bahawa hasil tabungan bapanya, Amin Yusop, bersama Simpan SSPN sebelum ini telah banyak membantunya melanjutkan pelajaran di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bermula tahun 2014.

Katanya yang kini jurutera di Tenaga Nasional Berhad, sekarang dia pula mula menabung untuk anaknya yang berusia empat tahun.

“Kami menabung bersama PTPTN ini sudah tiga generasi, bermula dari bapa, saya dan sekarang untuk masa depan anak saya. Terima kasih PTPTN kerana telah memudahkan urusan keluarga kami selama ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI