PETALING JAYA – Bagi memastikan insentif pengecualian bayaran balik pinjaman dilaksanakan dengan berkesan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan peruntukan dan kaedah pelaksanaan seterusnya akan dimaklumkan setelah dimuktamadkan.
Pengerusinya, Apli Yusoff berkata, pemberian insentif tersebut jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dan sebagai dorongan untuk menggalakkan pelajar yang merupakan peminjam PTPTN untuk mencapai pendidikan dengan cemerlang.
“PTPTN sebagai agensi dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited memastikan agar urusan berkenaan pengecualian bayaran balik pinjaman ini dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan para peminjam,” jelasnya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Apli, sebelum ini mulai tahun 2019, pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN hanya diberikan kepada peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama bagi kategori kumpulan B40 dan M40 sahaja.
Namun, dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada 27 Julai 2022, insentif tersebut akan diperluaskan kepada semua kategori peminjam yang bergraduat bermula tahun 2019 tanpa mengira had pendapatan.
Dalam pada itu, PTPTN turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri serta menyambut baik pengumuman mengenai insentif memberikan semula keistimewaan kepada mana-mana pelajar yang membuat pinjaman mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Inisiatif tersebut diberikan tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama untuk ditukarkan pinjaman mereka kepada pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam PTPTN yang bergraduat bermula tahun 2019. – KOSMO! ONLINE.