PARIS – Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Gini Wijnaldum dilaporkan bakal berhijrah pada jendela perpindahan kali ini selepas pihak pengurusan bersetuju untuk melepaskan tonggak antarabangsa itu Belanda secara pinjaman.
Dilaporkan, beberapa kelab Eropah cukup berminat untuk menandatangani Wijnaldum, tetapi PSG meletakkan syarat mereka perlu membayar wang pinjaman sebanyak £8 juta (RM43.8 juta) serta syarat pembelian kekal pada musim depan.
Kelab gergasi Serie A, AS Roma dipercayai menjadi pilihan utama Wijnaldum sekiranya dibenarkan berhijrah memandangkan keinginannya untuk bekerjasama dengan pengendali berpengaruh, Jose Mourinho.
Difahamkan, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton turut berminat untuk menandatangani pemain berusia 31 tahun itu memandangkan pengurus pasukan, Frank Lampard mahu memperkuatkan jentera tengah menjelang saingan musim baharu nanti.
Ini kerana skuad The Toffees kehilangan khidmat dua pemain tengah berpengaruh, Allan dan Abdoulaye Doucoure yang masih mengalami kecederaan jangka panjang.
Namun, Wijnaldum dilihat tidak berminat untuk menyarung jersi Everton memandangkan statusnya selaku bekas pemain Liverpool bermula 2016 hingga tahun lalu.
Malah, Wijnaldum juga dianggap sebagai wira bersama skuad The Reds kendalian Jurgen Klopp itu dengan menjuarai saingan trofi EPL dan Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI