TOKYO – Persatuan Penyakit Berjangkit Jepun menggesa orang ramai mengambil suntikan vaksin influenza pada kadar segera, lapor akhbar Mainichi semalam.
Persatuan itu turut memberi amaran bahawa wabak influenza bermusim berkemungkinan melanda Jepun pada musim luruh hingga musim sejuk tahun ini di samping Covid-19.
Pakar-pakar kesihatan menasihati orang ramai, terutamanya warga tua, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan untuk mendapatkan vaksin influenza.
Mereka menyebut tentang peningkatan kes influenza di Australia, manakala situasi di hemisfera selatan itu digunakan sebagai rujukan untuk meramalkan wabak influenza di hemisfera utara.
“Kemungkinan wabak influenza akan turut berlaku dari musim luruh hingga musim sejuk tahun ini,” tulis kenyataan tersebut.
Tiada wabak influenza berskala besar di Jepun sejak wabak koronavirus melanda negara itu pada Februari 2020.
Imuniti kumpulan terhadap influenza pula dikhuatiri menjadi semakin lemah sejak dua tahun lalu.
Organisasi itu menyatakan bahawa wabak besar-besaran melibatkan kanak-kanak, mungkin berlaku jika jangkitan merebak.
Ia juga menunjukkan kemungkinan influenza A iaitu subvarian H3N2 akan menjadi varian utama pada musim ini. – Agensi